18 maut, bas bawa tetamu perkahwinan terjunam ke dalam sungai - The Reporter

18 maut, bas bawa tetamu perkahwinan terjunam ke dalam sungai

18 maut bas perkahwinan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Sebuah bas yang membawa tetamu perkahwinan terjunam ke dalam sungai, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang di dalamnya terbunuh, manakala pihak berkuasa masih giat mencari mangsa yang terselamat.

Jurucakap kerajaan, Faizullah Farqan berkata, kemalangan tersebut berlaku di wilayah Gilgit Baltistan, utara Pakistan, apabila bas yang membawa penumpang menuju ke Chakwal di wilayah Punjab terjunam ke dalam Sungai Indus pada Selasa, 12 November.

Farqan menambah, usaha pencarian masih diteruskan dan hanya seorang wanita ditemui selamat dan kini sedang menerima rawatan di hospital. Punca kemalangan masih belum dikenal pasti dan mangsa yang terselamat belum dapat ditemu bual.

Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa pasukan penyelamat mempercepatkan usaha mencari penumpang yang hilang.

“Tak dapat bayangkan perasaan pasangan pengantin sekarang, kehilangan begitu ramai orang tersayang sekaligus,” kata netizen di media sosial.

Infrastruktur yang lemah dan kurangnya pematuhan undang-undang trafik serta keselamatan menyebabkan kemalangan jalan raya kerap berlaku di Pakistan.

Ogos lalu, seramai 36 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam dua insiden kemalangan bas berasingan.

Dalam salah satu kejadian, sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 32 cedera apabila sebuah bas yang membawa jemaah Syiah pulang dari Iran dan Iraq terjunam ke dalam gaung.

Ketua Polis tempatan, Qazi Sabir berkata, pemandu bas hilang kawalan di lebuh raya pesisir pantai Makran ketika brek gagal berfungsi di daerah Lasbela, wilayah Baluchistan.

Beberapa jam kemudian, 24 lagi maut apabila sebuah bas terjatuh ke dalam gaung di Kahuta, Punjab, dengan semua penumpang termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak turut terkorban. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!