Zizi Kirana sedia hadapi risiko sertai misi bantuan ke Gaza | The Reporter

Zizi Kirana sedia hadapi risiko sertai misi bantuan ke Gaza

Zizi Kirana akan menyertai misi bantuan ke Gaza 31 Ogos ini.
Gambar: Instagram sumudnusantaraofficial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penyanyi terkenal, Zizi Kirana menyatakan kesediaannya untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan, termasuk risiko kehilangan nyawa, apabila bakal menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Ogos ini.

Memetik laporan mStar, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata beliau reda dengan ketentuan Allah sekiranya ditakdirkan tidak kembali ke tanah air selepas menyertai misi tersebut.

“Mati syahid itu cita-cita tertinggi, tapi tujuan saya ke sana adalah untuk membawa kehidupan dan harapan kepada saudara kita di Gaza.

“Kalau Allah izinkan syahid, itu anugerah. Kalau Allah panjangkan umur, itu amanah untuk terus berjuang. Saya hanya sedia berkhidmat, selebihnya saya serahkan pada Allah,” katanya.

Menurut Zizi, ibunya pada awalnya banyak bertanya mengenai keputusan tersebut namun akhirnya reda dan mengikhlaskan segalanya. Manakala suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin, turut memberi izin penuh untuk beliau menyertai misi berkenaan.

“Ketika saya maklumkan kepada mak, dia banyak bertanya tapi akhirnya reda dan mengikhlaskan. Suami juga mengizinkan saya mengikuti misi ini. Mereka semua doakan saya selamat balik, tapi jika berlaku sebaliknya mereka reda sebab saya pergi dengan niat nak sampaikan bantuan,” jelasnya.

Baca juga:

Zizi memaklumkan, beliau bersama beberapa aktivis dari Malaysia akan berlepas ke Tunisia pada 31 Ogos sebelum belayar melalui Laut Mediterranean bersama puluhan kapal yang disertai oleh 44 negara.

Beliau turut menyertai pertubuhan Sumud Nusantara yang digerakkan dari Malaysia bersama tujuh negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina dan Maldives.

“Gerakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang diketuai Global Sumud Flotilla yang berjaya menghimpunkan 44 buah negara untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta membina semula solidariti global.

“Puluhan kapal layar akan terlibat dalam misi ini. Kami akan berkumpul di Tunisia terlebih dahulu untuk menjalani sesi latihan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Related Posts