Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
YouTube mengambil langkah lebih tegas dalam menangani kandungan ‘clickbait’ dengan memperkenalkan polisi baharu yang akan memadam video dengan tajuk atau gambar kecil yang tidak memenuhi janji kandungan sebenar.
Polisi ini akan diperkenalkan secara berperingkat di India sebelum diperluaskan ke negara lain dalam beberapa bulan akan datang, menurut kenyataan jurucakap YouTube, Jack Malon.
Menurut blog Google India, polisi ini memberi tumpuan kepada ‘clickbait’ yang dianggap melampau, terutama bagi video berkaitan berita terkini atau peristiwa semasa.
Contoh kandungan yang akan dikenakan tindakan termasuk video bertajuk “Presiden meletak jawatan!” tetapi tidak membincangkan isu peletakan jawatan, atau gambar kecil bertulis “berita politik utama” tetapi tidak mempunyai sebarang liputan berita.
Polisi ini akan dimulakan tanpa memberi amaran kepada pencipta kandungan pada peringkat awal dan penguatkuasaan akan lebih memfokuskan pada video baharu yang dimuat naik.
“Kami akan memadamkan kandungan yang melanggar polisi ini tanpa memberikan amaran. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pencipta kandungan menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” kata kenyataan itu.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha YouTube untuk melindungi penonton daripada rasa tertipu, terutama apabila mereka mencari maklumat penting atau terkini. Namun, masih belum jelas bagaimana YouTube akan mengkategorikan berita atau peristiwa semasa serta kaedah pengesanan kandungan yang tidak selaras antara tajuk, gambar kecil, dan video sebenar.








