Seorang pemuzik jalanan yang sering mencuri perhatian di hadapan White House di Amerika Syarikat, Don Folden atau lebih dikenali sebagai The Truth Conductor, meluahkan rasa teruja selepas mengetahui dirinya semakin dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menerusi satu video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, Tashamae, Don pada awalnya kelihatan sukar mempercayai apabila dimaklumkan bahawa namanya kini mendapat perhatian di Malaysia.
Dalam perbualan itu, Don turut menerima pelawaan untuk berkunjung ke Malaysia, malah menyatakan hasrat untuk datang bukan sekadar sebagai pelancong, tetapi sebagai individu yang mampu membantu mempromosikan negara ini kepada dunia.
“Saya akan datang sebagai seorang ahli perniagaan. Jika saya boleh membawa 1.3 juta orang ke Malaysia, bayangkan apa yang boleh saya lakukan.
“Hanya dengan saya berada di hadapan White House memainkan lagu kebangsaan anda, ia boleh memberi impak kepada sektor pelancongan. Kita perlu mula berfikir di luar kebiasaan,” katanya.
Menurut Don, misinya selama ini bukan sekadar bermain muzik, sebaliknya menggunakan muzik sebagai medium untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, muzik mempunyai keupayaan menyentuh hati manusia dan menjadi bahasa sejagat yang mampu merapatkan jurang perbezaan.
“Saya melakukan semua ini kerana saya percaya ini adalah kerja Tuhan untuk membawa manusia kembali bersatu. Muzik boleh menyentuh hati tanpa menyakiti sesiapa,” katanya.
Baca juga:
- MPGN gesa kaji semula struktur gaji negara, elak pekerja terus terhimpit
- Video tular rakam lelaki Amerika pasang lagu Negaraku di depan White House
- Lee Chean Chung pula dakwa akses MyKhas disekat
Beliau turut mengakui sepanjang enam tahun menyampaikan mesej perpaduan, masih ramai yang lebih melihat warna kulitnya berbanding mesej yang ingin disampaikan.
Pada masa sama, Don mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai alasan untuk saling membenci.
“Kita perlu mula bercakap antara satu sama lain, bukannya bercakap terhadap satu sama lain. Kebencian dan perbezaan pendapat bukan perkara yang sama.
“Ini bukan mesej untuk Amerika sahaja, tetapi untuk seluruh dunia. Sebab itu saya tidak pernah berputus asa kerana saya percaya mesej ini bersifat sejagat,” katanya.
Video yang dimuat naik oleh Tashamae itu turut disertakan kapsyen yang memaklumkan Don pada mulanya tidak percaya dengan sambutan yang diterimanya sebelum kelihatan sangat gembira, selain memuji usahanya yang konsisten menyebarkan mesej perpaduan setiap hari.









