Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pelawak popular, Shuib atau Shahmira Muhamad baru-baru ini berdepan tuduhan serius apabila didakwa menggunakan wang Perkeso pekerja syarikatnya, Bubblebee Sdn Bhd, untuk menampung kos umrah.
Tuduhan tersebut bagaimanapun segera dinafikan oleh Shuib yang menyifatkannya sebagai fitnah yang melampau.
Isu ini turut mendapat perhatian isterinya, Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, yang tampil mempertahankan suaminya dengan menjelaskan bahawa Shuib sudah lama tidak mengambil sebarang gaji daripada syarikat tersebut.
Menurut Watie, Shuib bukan sahaja tidak mengambil gaji, malah sering menggunakan wang simpanannya sendiri untuk membayar gaji pekerja Bubblebee.
“Dia sudah bertahun tak ambil gaji, malah setiap bulan tambah duit poket sendiri untuk bayar gaji pekerja,” ujar Watie dalam satu hantaran Instastory bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Watie turut menegaskan suaminya difitnah secara tidak adil dan berharap Shuib diberi ketabahan untuk menghadapi dugaan ini.
“InsyaAllah, dia tahu halal haram. Maaflah, isterinya kali ini teremosi sikit,” katanya lagi.
Shuib dan pengarah syarikat Bubblebee sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Shah Alam atas kesalahan gagal membayar caruman Perkeso pekerja dan telah dikenakan denda sebanyak RM17,500.
Sumber: IG Dol Podcast, IG Watie