Seorang wanita tampil mempertahankan tindakan suaminya yang tular kerana menggunakan sikat di sebuah pasar raya tanpa membeli produk berkenaan, selepas video tersebut mengundang kecaman hebat netizen.
Wanita itu mempersoalkan mengapa masyarakat melihat perbuatan mencuba sikat sebagai sesuatu yang kotor, sedangkan pelanggan yang mencuba pakaian berkali-kali di bilik persalinan tidak pula dikritik.
“Kalau cuba baju di fitting room, tak muat saiz S tukar ke saiz M, semua orang anggap biasa. Tak ada siapa kata pengotor walaupun cuba berkali-kali tapi tak beli.
“Tapi bila suami saya cuba sikat, terus dihina. Sama saja logiknya, cuba dulu baru tahu sesuai atau tidak. Selepas beli boleh saja basuh sebelum guna, mudah kan?” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Beliau turut kesal apabila ada pihak yang menghina keluarganya hanya kerana isu berkenaan.
“Lebih menyedihkan bila ada yang sanggup melemparkan hinaan sampai babitkan keluarga saya. Semoga kata-kata buruk itu berbalik semula kepada mereka. Aamiin,” ujarnya lagi.
‘Belilah sikit itu dulu’
Sebelum ini, tular rakaman seorang lelaki menggunakan sikat yang dipamerkan di pasar raya Mydin untuk menyikat rambut anaknya sebelum meletakkan semula sikat berkenaan tanpa membeli. Tindakan itu mengundang kritikan ramai yang mengaitkannya dengan isu kebersihan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali turut menegur perbuatan tersebut dengan mengingatkan orang ramai agar lebih peka terhadap aspek kebersihan.
“Nak menyikat tak salah, tapi belilah sikat itu dulu,” katanya.
Dalam satu kenyataan rasmi, Mydin juga memohon kerjasama pelanggan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sensitiviti produk yang dipamerkan di pasar raya mereka.








