Tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang bapa menyikat rambut anaknya menggunakan sikat yang dijual di pasar raya Mydin. Tindakan itu mencetuskan perdebatan ramai apabila sikat berkenaan tidak dibeli, sebaliknya memilih untuk membeli sikat lain.
Perbuatan itu mengundang kritikan netizen yang mengaitkannya dengan isu kebersihan produk.
Namun, isteri kepada lelaki berkenaan tampil mempertahankan tindakan berkenaan dengan mempersoalkan perbezaan situasi itu berbanding pelanggan yang mencuba baju pelbagai saiz sebelum membuat pembelian di pasar raya.

Video tersebut turut menarik perhatian Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali, yang menegur perbuatan berkenaan serta mengingatkan orang ramai agar lebih peka terhadap aspek kebersihan.
“Nak menyikat tak salah, tapi belilah sikat itu dulu,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak Mydin turut memohon kerjasama pelanggan untuk menjaga kebersihan dan sensitiviti produk yang dipamerkan di pasar raya mereka.
“Kami mengambil maklum isu yang tular tersebut. Kami memohon kerjasama semua pelanggan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sensitiviti produk.
Sekiranya terdapat sebarang isu atau aduan, sila ke kaunter khidmat pelanggan atau hubungi kami di talian 1300-30-8786 dengan segera,” menurut kenyataan itu.








