Pelakon dan tokoh politik Tamil Nadu, C Joseph Vijay menzahirkan rasa amat berbesar hati dengan ucapan tahniah yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan balas di platform X, Vijay menzahirkan penghargaan atas ucapan mesra tersebut yang disifatkan sebagai satu tanda hubungan baik dan sikap saling menghormati antara kedua-dua pihak.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serta mempererat hubungan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia, selain berharap hubungan dua hala itu akan terus berkembang pada masa akan datang.
“Saya amat berbesar hati dengan ucapan tahniah yang penuh mesra daripada Perdana Menteri Malaysia yang dihormati, Anwar Ibrahim. Terima kasih.
“Saya komited untuk memperkukuh kerjasama yang lebih erat serta mempertingkatkan hubungan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia,” katanya.
Baca juga:
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
- Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali
- Gara-gara contengan si kecil, hasrat terbang tertunda
Terdahulu, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada Thalapathy Vijay atas pemilihannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, India, dalam satu hantaran di Facebook yang menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu itu.
Dalam kenyataan tersebut, Anwar menyifatkan pencapaian Vijay sebagai satu perubahan besar daripada dunia hiburan ke arena pentadbiran, sambil menyebut bahawa rakyat Tamil Nadu kini meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada beliau berbanding watak-watak yang pernah dibawanya di layar perak.








