Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Thalapathy Vijay atas pemilihannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, India, dalam satu hantaran di Facebook yang menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu itu.
Dalam kenyataan tersebut, Anwar menyifatkan pencapaian Vijay sebagai satu perubahan besar daripada dunia hiburan ke arena pentadbiran, sambil menyebut bahawa rakyat Tamil Nadu kini meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada beliau berbanding watak-watak yang pernah dibawanya di layar perak.
“Selama bertahun-tahun, para peminat setianya menyaksikan beliau mengalahkan ahli politik korup dan pelbagai watak jahat dalam tempoh tiga jam, biasanya selepas satu selingan pendek.
“Kini, rakyat Tamil Nadu telah mengamanahkan Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana watak yang pernah dilakonkannya di layar,” katanya.
Baca juga:
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
- Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali
- Gara-gara contengan si kecil, hasrat terbang tertunda
Beliau turut merujuk kepada simbol ‘Oru Viral Puratchi’ atau ‘revolusi satu jari’ sebagai simbol perubahan politik yang sedang berlaku, yang disifatkan berada di ambang mencipta sejarah baharu di negeri tersebut.
Anwar turut menegaskan hubungan erat antara Malaysia dan Tamil Nadu yang telah terjalin sekian lama melalui sejarah, budaya dan hubungan rakyat kedua-dua wilayah. Beliau menyatakan hasrat untuk bekerjasama rapat dengan kepimpinan baharu Tamil Nadu dalam tahun-tahun akan datang bagi memperkukuh hubungan dua hala.








