Adakah Perikatan Nasional (PN) bersedia menggugat kedudukan Perdana Menteri melalui usul undi tidak percaya? Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan ia akan dibawa ke Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Namun, nada berbeza disuarakan oleh rakan sekutunya dalam PN, iaitu PAS yang setakat ini belum nampak keperluan untuk membawa usul tersebut.
Hamzah ketika ditemui pada Himpunan Pembangkang Sabtu lalu hanya berkata, “Tunggulah. Kita akan lakukan nanti,” tanpa memberikan tarikh khusus.
Hamzah mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau bersedia berdepan usul tersebut, bahkan telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul untuk memberi laluan jika ia dikemukakan.
Baca juga:
- ‘PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM’ – Isham Jalil
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
PAS utamakan ‘undi rakyat’ bukan Dewan Rakyat
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan PAS tidak bercadang membawa usul berkenaan dalam masa terdekat. Beliau menekankan undi tidak percaya tidak semestinya berlaku di Parlimen, sebaliknya boleh dizahirkan melalui suara rakyat termasuk di pilihan raya atau himpunan.
“Undi tak percaya tak semestinya mengikut undang-undang, tetapi juga mengikut hukum moral apabila Perdana Menteri melihat rakyat berkumpul membantah kedudukannya,” katanya.
Takiyuddin turut membayangkan kekurangan sokongan di Dewan Rakyat buat masa ini, justeru sebarang usul perlu mengambil kira ‘isu yang lebih besar’ sebelum dibawa secara rasmi.
Sumber: Berita Harian








