Turkiye telah menyekat akses ke platform permainan video popular, Roblox, atas kebimbangan mengenai kandungan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kanak-kanak.
Siasatan awal mendapati, terdapat kandungan dalam Roblox yang boleh menyebabkan penderaan kanak-kanak. Selain terdapat dakwaan mengatakan parti seksual dianjurkan dalam Roblox, di mana kanak-kanak diberikan mata wang maya Robux untuk menyertainya.
“Negara kita wajib mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan perlindungan anak-anak kita. Menggunakan teknologi dengan cara yang negatif tidak pernah boleh diterima,” tegas Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc di platform media sosial X.
Beliau berkata, mahkamah Turkiye telah menyekat akses ke platform tersebut kerana pendakwa raya di wilayah selatan Adana, sedang menyiasat kandungan yang mungkin menyebabkan penyalahgunaan kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut
Sementara itu, jurucakap Roblox berkata, keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak adalah menjadi keutamaan pihaknya.
“Kami mematuhi undang-undang di setiap negara di mana kami beroperasi dan berkongsi komitmen untuk melindungi kanak-kanak. Kami berharap dapat bekerjasama untuk memastikan Roblox kembali beroperasi di Turki secepat mungkin,” kata jurucakap itu dalam e-mel kepada Reuters.
Sekatan ke atas plafform Roblox ini berlaku selepas Turkiye menyekat akses ke platform media sosial Instagram minggu lalu, selepas platform itu didakwa tidak mematuhi undang-undang tertentu dan sensitiviti awam.
Pegawai Turkiye telah mengadakan perbincangan dengan Instagram minggu ini, tetapi isu tersebut masih belum dapat diselesaikan.