Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Hubungan antara bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan semakin tegang.
Memetik Anadolu, Trump dikatakan telah memutuskan untuk tidak lagi berhubung secara langsung dengan Netanyahu.
Menurut laporan wartawan Radio Tentera Israel, Yanir Cozin, keputusan itu dibuat selepas beberapa individu rapat dengan Trump menyampaikan kepada Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer, bahawa Trump mula merasa dirinya dimanipulasi oleh Netanyahu.
Seorang pegawai Israel turut memaklumkan bahawa nada dan cara Dermer ketika berbincang dengan pemimpin Republikan baru-baru ini dianggap angkuh dan tidak membantu. Malah, ia turut menyumbang kepada rasa kurang senang dalam kalangan orang kanan Trump.
“Tiada perkara yang lebih Trump benci selain rasa dirinya dipermainkan. Sebab itu dia buat keputusan untuk hentikan terus komunikasi dengan Netanyahu,” kata pegawai berkenaan.
Laporan turut menyebut bahawa ketegangan ini berpunca daripada kegagalan kerajaan Israel untuk mengemukakan pelan yang jelas mengenai beberapa isu penting seperti Iran, pemberontak Houthi di Yaman, serta masa depan Gaza.
Cozin menjelaskan bahawa ketiadaan hala tuju yang konkrit dalam hal-hal tersebut telah memberi kesan besar kepada hubungan strategik antara Washington dan Tel Aviv, yang sebelum ini dikenali sangat rapat.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi dari mana-mana pihak, tindakan Trump ini menandakan wujud jurang yang semakin melebar antara dua pemimpin berpengaruh itu








