Ketika ini masih berlegar di ruangan media sosial tentang isu seorang pempengaruh yang meminta seorang wanita membuka kamera ketika sesi bacaan Al-Quran.
Ramai yang mempertikaikan tindakan beliau dan juga gelaran ustaz yang dibawanya.
Mengulas isu ini, seorang pendakwah menyatakan dalam pengajian Al-Quran, pergerakan mulut dan bibir adalah penting kerana sebutan Al-Quran itu adalah usul kepada ilmu tajwid.
“Benarkah pelajar perlu membuka kamera untuk mengaji? Perkara yang sangat penting dalam pengajian al-Quran adalah pergerakan mulut dan bibir.
“Kerana sebutan huruf al-Quran adalah usul kepada ilmu tajwid. Maka, pelajar perlu memerhatikan pergerakan mulut guru al-Quran.
“Maka isu penting di sini adalah murid memerhatikan mulut guru. Adapun guru pula memerhatikan mulut pelajar untuk membetulkan,” katanya.
Boleh menimbulkan fitnah
Bagaimanapun, menurut pendakwah ini, jika murid sesama lelaki tidak menjadi masalah, tetapi apabila melibatkan wanita, hal ini tidak dibolehkan kerana menimbulkan fitnah.
“Jika murid lelaki sesama lelaki, hal ini tiada masalah. Namun, jika guru lelaki ingin melihat kepada murid wanita, hal ini tidak dibolehkan kerana boleh menimbulkan fitnah.
“Maka kita melihat tiada keperluan, apatah lagi boleh menimbulkan fitnah bagi seseorang untuk membuka kamera untuk mengaji di medsos, sebagai syarat untuk diajar,” jelasnya.
Dalam pada itu juga, menerusi bebenang di jaringan X itu, pendakwah tersebut juga menyatakan individu perlu mengetahui keahlian seseorang guru.
“Sebelum kita memberi mandat untuk seseorang mengajarkan al-Quran, perlu kita ketahui dahulu keahliannya. Bidang al-Quran, tajwid ini juga perlu ada keahlian. Bukan semua yang bernama ‘ustaz’ layak untuk mengajarkan bacaan al-Quran dan tajwid.
“Maka perlu semak dahulu latar belakang ‘ustaz’ itu, adakah dia mempunyai bukti talaqqi, dia mempunyai kelayakan dalam bidang tajwid dan seumpamanya.
“Agak mendukacitakan jika bidang al-Quran ini dipandang enteng seolah siapa sahaja boleh mengajar bidang ini. Tidak pernah membaca dan membetulkan bacaan di depan guru pun, tiba-tiba menjadi ‘guru’ di media sosial,” katanya.
Sumber: Ustaz Muzuza