Istilah kafir harbi tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya terhadap individu bukan Islam yang membenci Islam, sebaliknya ia mempunyai takrif dan konteks tertentu dalam perbahasan hukum Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan, golongan harbi pada asasnya merujuk kepada pihak yang tidak mempunyai sebarang perjanjian atau kontrak dengan umat Islam sehingga terdapat keadaan tertentu yang membolehkan hukum tersebut dikenakan.
Menurut beliau, seseorang bukan Islam yang menunjukkan kebencian terhadap Islam tidak boleh terus dilabel sebagai kafir harbi sekiranya mereka tidak mengangkat senjata serta masih mematuhi perjanjian yang dipersetujui.
Beliau turut mengingatkan bahawa istilah harbi mempunyai implikasi hukum yang serius, termasuk berkaitan darah dan harta, justeru ia tidak wajar digunakan secara mudah terhadap mana-mana individu atau kelompok hanya berdasarkan sentimen kebencian terhadap Islam.
Persepsi negatif
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang bukan Islam mempunyai persepsi negatif terhadap Islam, termasuk kejahilan atau memperoleh maklumat yang tidak tepat daripada sumber tertentu.
Katanya, sebahagian individu di Eropah misalnya mungkin mengenali Islam melalui buku atau bahan yang memberikan gambaran tidak tepat mengenai Islam dan sirah Rasulullah SAW, sekali gus membentuk persepsi negatif terhadap agama berkenaan.
Beliau turut menekankan bahawa umat Islam sendiri memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam kerana mereka mengenali agama itu melalui akhlak dan tindakan umat Islam.
Baca juga:
- ‘Benci Islam tidak bermakna kafir harbi’ – Mufti Wilayah Persekutuan
- Lafaz talak kerana bola sepak? Dr. Zulkifli tampil beri penjelasan
- JAKIM gesa semua buku agama disemak pihak berautoriti, elak kesilapan kandungan
Menurutnya, sekiranya seseorang membaca al-Quran dan melihat Islam sebagai agama yang menekankan larangan melakukan perkara buruk serta menggalakkan akhlak yang baik, tetapi melihat perlakuan umat Islam yang bertentangan dengan ajaran tersebut, keadaan itu boleh menimbulkan kekeliruan terhadap Islam.
Justeru, beliau menyeru umat Islam supaya menunjukkan toleransi dan menggunakan bahasa yang baik ketika berhadapan dengan masyarakat bukan Islam, terutama mereka yang mempunyai pandangan negatif terhadap Islam.
Beliau berkata, pendekatan berhemah penting kerana masyarakat bukan Islam sering membentuk kefahaman mereka mengenai Islam berdasarkan interaksi dengan umat Islam sendiri.









