‘Jangan gusar bantu Najib, usaha memperoleh haknya berpahala’ - Nik Abduh | The Reporter

‘Jangan gusar bantu Najib, usaha memperoleh haknya berpahala’ – Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengulas usaha membantu Najib Razak memperoleh haknya.
Nik Abduh mengulas isu sumbangan derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak. Gambar: Facebook Nik Abduh, Utusan Malaysia.

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan bahawa sebarang bentuk bantuan dan usaha memudahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh hak yang dibenarkan merupakan amalan yang boleh mendapat ganjaran pahala.

Menurut beliau, bantuan berkenaan tidak hanya terbatas kepada sumbangan kewangan, sebaliknya merangkumi tindakan yang dapat membantu Najib menghadapi kesukaran dalam mendapatkan haknya mengikut saluran yang dibenarkan.

“Bukan hanya derma, malah sebarang tindakan dan usaha memudahkan kesukaran DSNR memperoleh haknya yang dibenarkan adalah berpahala,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Nik Abduh turut meminta orang ramai supaya tidak bimbang untuk membantu Najib sambil mengaitkan perkara itu dengan peluang yang diberikan kepada individu yang pernah menjalani hukuman penjara untuk kembali mendapat kepercayaan masyarakat.

“Jangan gusar bantu DSNR. Kita berPMkan bekas banduan beberapa kali. Penjara menutup kesalahan lalu. Kembali percaya itu pilihan rakyat,” katanya.

Dalam hantaran terdahulu, beliau turut menyifatkan tindakan umat Islam membantu menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib sebagai berpahala kerana menurut pandangannya, ia bukan bermaksud menyokong perbuatan salah.

Sebaliknya, beliau berpendapat bantuan itu merupakan satu bentuk sokongan terhadap sistem pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang diiktiraf syarak.

Related Posts