Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan setiap buku berunsurkan agama Islam perlu melalui proses semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan kandungannya, susulan kontroversi kesilapan dalam sebuah buku agama yang ditulis oleh seorang pempengaruh.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menggesa penerbit memelihara kesucian Islam dengan memastikan semua buku agama disemak terlebih dahulu sebelum diterbitkan.
Menurut beliau, setiap penulis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan buku yang dihasilkan, manakala penerbit pula hendaklah melantik pasukan pakar serta kakitangan yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian Islam bagi menyemak semua kandungan berkaitan agama secara dalaman sebelum diterbitkan.
“Setiap penulis buku perlu bertanggungjawab penuh kepada buku yang ditulis. Selain itu, semua Penerbit yang menerbitkan buku kandungan agama, secara dalaman perlu bertanggungjawab melantik pasukan pakar dan kakitangan berkelulusan pengajian Islam untuk membuat semakan kepada semua kandungan agama sebelum diterbitkan,” katanya.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan petikan ayat al-Quran dan hadis.
Baca juga:
- Dua rakyat Malaysia cedera, kenderaan dinaiki terkena letupan bom di Tak Bai
- Bekas tentera lapor diri sebagai warden sepenuh masa di lapan MRSM mulai 1 Julai
- JAKIM gesa semua buku agama disemak pihak berautoriti, elak kesilapan kandungan
Sehubungan itu, JAKIM turut mengesyorkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia supaya sentiasa mengingatkan semua penerbit agar lebih teliti dan berhati-hati dalam menerbitkan bahan bacaan yang mengandungi teks al-Quran serta hadis.
“JAKIM bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bersedia untuk memberikan panduan dan bimbingan kepada semua Penerbit buku kandungan agama,” katanya.
Sebelum ini, pempengaruh, Aisyah Hijanah Azhari tampil memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan penulisan ayat al-Quran dalam sebuah buku terbitannya yang mencetuskan kebimbangan ramai.
Menerusi satu kenyataan, beliau mengakui kesilapan itu merupakan tanggungjawabnya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku berkenaan, walaupun naskhah tersebut dihasilkan bersama seorang penulis bersama (ghostwriter).









