Hospital Putrajaya beri penghormatan terakhir buat pesara MPOB | The Reporter

Hospital Putrajaya beri penghormatan terakhir buat pesara MPOB

Petugas kesihatan Hospital Putrajaya memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Wan Hasamudin Wan Hasan menerusi upacara Walk of Honour.
Petugas kesihatan Hospital Putrajaya memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Wan Hasamudin Wan Hasan. Gambar: Tangkap layar video TikTok Aina Mardiyah

Pemergiannya meninggalkan kesedihan buat keluarga tersayang, namun di sebalik kehilangan itu, Allahyarham Wan Hasamudin Wan Hassan, 64, yang merupakan pesara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meninggalkan satu hadiah tidak ternilai apabila organ tubuhnya bakal memberi sinar harapan kepada insan lain.

Suasana penuh hiba menyelubungi Hospital Putrajaya apabila barisan petugas kesihatan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham menerusi upacara Walk of Honour sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mulianya.

Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah meninggalkan jasa besar apabila ahli keluarganya memberikan keizinan untuk mendermakan buah pinggang dan kornea mata bagi membantu individu lain yang memerlukan.

Dalam satu kenyataan, Hospital Putrajaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keikhlasan dan kemuliaan hati mereka membuat keputusan tersebut meskipun sedang berdepan detik kehilangan insan tersayang.

“Sesungguhnya pemergianmu menghidupkan harapan insan lain,” menurut kenyataan itu.

Sebagai menghargai pengorbanan berkenaan, barisan petugas kesihatan mengadakan upacara penghormatan terakhir sebelum prosedur perolehan organ dijalankan.

“Jasa dan pengorbanan ini akan terus mekar memberi sinar kehidupan baharu buat mereka yang memerlukan.

“Terima kasih, wira kami,” menurut Hospital Putrajaya.

Related Posts