Lima kerusi DUN Terengganu boleh dirunding PN-BN - Ahmad Samsuri | The Reporter

Lima kerusi DUN Terengganu boleh dirunding PN-BN – Ahmad Samsuri

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengulas kemungkinan kerjasama PN-BN dan rundingan lima kerusi DUN Terengganu.
Gambar: Facebook Dr Ahmad Samsuri.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan bahawa kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi diperluaskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, kerjasama yang telah dimulakan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka merupakan batu asas ke arah membina persefahaman politik yang lebih besar antara kedua-dua gabungan berkenaan.

“Apa yang kita mulakan di Johor, kemudian Negeri Sembilan, kemudian Melaka, adalah batu asas untuk membina persefahaman yang lebih besar untuk PRU ke-16.

“Jadi, kita boleh buat kiraan matematik sendiri apa yang akan berlaku sekiranya kerjasama ini dapat diperluaskan sehingga PRU ke-16,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perbincangan khusus mengenai kerjasama politik di Terengganu masih belum dimulakan kerana tumpuan ketika ini diberikan kepada perkembangan di Melaka.

Katanya, sebarang rundingan lanjut akan dilaksanakan secara berperingkat selepas pembentukan kerajaan negeri Melaka mencapai tahap yang lebih stabil.

“Selesai satu-satu. Selesai Melaka, alhamdulillah, all good. Bentuk kerajaan, tengok dari segi bagaimana kita boleh menyumbang kepada pembinaan kerajaan negeri Melaka.

“Dan bila dah agak stabil, kita akan teruskan siri-siri perbincangan yang berikutnya,” jelasnya.

Formula di Melaka

Mengulas kemungkinan kerjasama PN-BN dilaksanakan di Terengganu, beliau berkata formula yang digunakan di Melaka boleh dijadikan asas perbincangan, termasuk mengambil kira kedudukan sedia ada atau status quo.

Ahmad Samsuri turut mengingatkan bahawa daripada keseluruhan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hanya lima kerusi bukan milik PAS.

“Jadi, to be fair, formula yang sama juga harus diterima pakai dan semua sedia maklum kerusi di negeri Terengganu ada 32.

“Dan ada beberapa kerusi sahaja, lima kerusi yang bukan daripada PAS sendiri. Dan ruang lain saya rasa tidak ada,” katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan lima kerusi berkenaan menjadi antara perkara yang boleh dirundingkan antara PN dan BN sekiranya kerjasama politik kedua-dua gabungan diteruskan.

“Ini antara perbincangan antara Perikatan Nasional dan juga Barisan Nasional untuk menentukan bagaimana kedudukan lima kerusi ini. Boleh dibincangkan,” katanya.

Related Posts