Kos hidup yang semakin tinggi menghimpit setiap masyarakat tidak kira di bandar besar atau di desa.
Peniaga terutamanya penjual makanan menghadapi masalah dalam menentukan harga makanan yang dijual dan memikirkan keuntungan yang diperolehi berbaloi atau tidak dengan kos bahan mentah yang dikeluarkan.
Situasi ini juga membuatkan seorang wanita yang juga merupakan seorang penjual nasi lemak hanya bersabar dengan kerenah pelanggan yang datang ke gerainya.
Menerusi satu video yang dirakamkan, seorang pelanggan memintanya untuk membungkus nasi lemak yang berharga RM2. Pelanggan tersebut memintanya untuk melebihkan sambal nasi lemak, kacang, telur dan ikan bilis.
Penjual wanita yang dikenali sebagai Nisya itu hanya mengenakan caj 50 sen untuk tambahan hidangan itu, tetapi pelanggan tadi tidak berpuas hati dan mempersoalkan kenapa harga tersebut berubah.
Apabila Nisya menjelaskan harga tersebut disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, pelanggan tadi mahu memulangkan balik bungkusan nasi lemak itu dan mahu membeli di gerai lain.
Melihat reaksi pelanggan itu, Nisya hanya membenarkan pelanggan itu membayar dengan harga RM2.
Rakaman video itu menarik perhatian ramai. Namun ada yang mendakwa itu hanyalah content semata dan lakonan semula untuk meraih publisiti. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan kejadian sebegitu memang benar-benar berlaku.