Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mangsa kemalangan yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin, terus dizahirkan. Selain kiriman doa, pelbagai bentuk bantuan turut disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mereka yang tercedera.
Salah satu inisiatif yang menyentuh hati ialah sumbangan daripada Syarikat Sinar Suci Travel & Tours yang berpangkalan di Pengkalan Chepa. Syarikat ini telah menaja pakej umrah secara percuma kepada ibu bapa empat orang pelajar yang terkorban dalam nahas tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman bin Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.
“Terima kasih kepada Syarikat Sinar Suci Travel & Tours dari Pengkalan Chepa yang menaja pakej umrah percuma buat ibu bapa kepada empat orang anak Jabi yang terkorban dalam tragedi kemalangan JRTB.
“Semoga sumbangan ini menjadi pengubat duka serta asbab kepada limpahan rezeki daripada-NYA,” katanya.
Ibu bapa kepada Allahyarhamah Nurly Shahirah turut tersenarai sebagai penerima pakej berkenaan. Abang kepada Allahyarhamah turut berkongsi tentang kunjungan pihak syarikat ke kediaman mereka.
“Terima kasih kepada Syarikat Sinar Suci Travel & Tours dari Pengkalan Chepa yang menaja pakej umrah percuma buat ibu bapa Nurly Shahirah serta ibu bapa mangsa lain… Allahuakbar… Indah sungguh susunan Allah. Hari ini tidak putus-putus orang datang menziarahi Nurly. Semua ingin bertemu umi dan abah,” tulisnya di Facebook.








