Surau MADANI R&R Seremban jadi lokasi pertama dibenar solat Jumaat di Lebuh Raya | The Reporter

Surau MADANI R&R Seremban jadi lokasi pertama dibenar solat Jumaat di Lebuh Raya

Surau Madani R&R Seremban lokasi pertama solat Jumaat di lebuh raya
Solat Jumaat akan didirikan pada 4 Julai 2025. Gambar: Caricarz – Dunia Kereta

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan mencipta sejarah apabila menjadi surau R&R pertama dibenarkan mendirikan solat Jumaat selepas mendapat kelulusan Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

Menurut Faudzinaim, kebenaran itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja R&R, malah pengguna lebuh raya yang menuju ke arah selatan kini boleh berhenti untuk menunaikan solat Jumaat dengan lebih mudah.

Memetik laporan Berita Harian, Faudzinaim menjelaskan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mendapati wujud keperluan yang membolehkan solat Jumaat diadakan di situ, terutamanya untuk para pekerja lelaki beragama Islam di kawasan tersebut.

“Kita lihat ada keperluan, ada hajat yang perlu dipenuhi bagi golongan pekerja di sini. Oleh kerana itu, Jawatankuasa Fatwa berasakan perlu memberikan kebenaran secara sementara,” katanya.

Beliau menambah, langkah ini juga akan membantu umat Islam untuk terus dekat dengan Allah walaupun ketika dalam perjalanan, bercuti atau bekerja.

“Ini adalah kebenaran solat Jumaat pertama di kawasan R&R. Kita mengharapkan dengan kebenaran ini, ia akan memberi keselesaan kepada umat Islam yang sentiasa berada atas lebuh raya.

“Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di sini serta penduduk sekitar Labu dan Seremban selain pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Tambahnya, buat masa ini, fokus hanya diberikan kepada pelaksanaan di R&R Seremban dan belum ada perancangan untuk diperluaskan ke lokasi R&R lain.

Dalam pada itu, PLUS Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan solat Jumaat di Kawasan R&R berkenaan akan didirikan mulai 4 Julai 2025.

“Solat Jumaat akan mula didirikan di sini mulai 4 Julai 2025 bersamaan 8 Muharram 1447H.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan beribadah yang lebih lengkap, khususnya kepada komuniti pekerja yang berkhidmat di kawasan R&R, penduduk sekitar Labu dan Seremban, serta pengguna lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat Jumaat semasa dalam perjalanan,” katanya.

Related Posts