Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengemukakan surat terbuka yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook, ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menerusi hantaran surat terbuka itu, beliau memohon perhatian terhadap tekanan kerja yang dialami oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selain meluahkan kebimbangan terhadap sistem kesihatan negara yang disifatkan semakin ‘tenat’.
“Itulah kehidupan pekerja kesihatan di Malaysia hari ini. Sistem kesihatan, siapa sebenarnya yang sedang sakit? Rakyat memang sakit. Tapi yang rawat pun makin tenat,” katanya.
Beliau juga membangkitkan isu mengenai tindakan yang dilakukan ke atas petugas kesihatan jika melakukan kesilapan.
“Kami tetap kerja, tetap sneyum sebab ini jihad kami dan punca rezeki kami. Tapi, bila kami tersilap sedikit, diminta tunjuk sebab, memo naik ke pejabat.
“Tak cukup dengan beban kerja fizikal, kami dihukum dengan tekanan mental,” katanya.
Cadangan reformasi
Dalam hantaran berkenaan juga, beliau mengemukakan beberapa cadangan reformasi kesihatan yang wajib dilaksanakan. Antaranya, mencadangkan agar menubuhkan suruhanjaya khas petugas barisan hadapan (frontliner) yang bertindak menyuarakan isu terus ke kabinet tanpa tapisan di pihak atasan.
Beliau juga mencadangkan agar diberikan kelulusan cuti ‘mental health day’ dua kali setahun agar petugas mempunyai rehat yang cukup.
Selain itu, juga beberapa cadangan lain seperti dasar penyatuan keluarga penjawat awam, hari frontliner nasional dan juga sistem shift fleksibel untuk unit yang bukan kritikal.
Jelasnya lagi, surat tersebut bukan bertujuan mengancam mana-mana pihak, tetapi merupakan seruan ikhlas untuk reformasi kesihatan demi kesejahteraan petugas barisan hadapan.
“Kami bukan ancaman. Kami tulang belakang.Tapi tulang belakang pun boleh patah kalau asyik dibebani.
“Ini bukan rayuan, ini seruan reformasi. Kalau negara nak jadi maju, mulakan dengan jaga orang yang jaga kesihatan rakyat,” tegasnya.








