Isu sebuah kalkulator saintifik yang didakwa ‘dibaiki dengan cara tidak masuk akal’ di sebuah kedai di Kota Bharu terus mencuri perhatian ramai selepas ia tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai pandangan mengenai caj servis dan cara pembaikan dilakukan.
Kisah bermula apabila seorang wanita membawa anaknya ke sebuah kedai untuk membaiki kalkulator yang dikatakan rosak akibat terkena air. Pemilik kedai kemudian memeriksa peranti itu dan melakukan proses pengeringan sebelum didakwa memasukkan bateri daripada alat kawalan jauh ke dalam kalkulator berkenaan. Tindakan itu mengundang kritikan netizen yang mempersoalkan caj RM30 yang dikenakan.
Namun,individu yang dipercayai membaiki peranti berkenaan tampil memberi penjelasan bahawa bateri yang digunakan sebenarnya adalah bateri baharu, cuma ia disimpan dalam alat kawalan jauh sementara kerana stok dalam bungkusan asal tidak ditemui ketika itu.
Baca juga:
- Pelajar UCYP terima sijil penghargaan, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
- Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Dia turut menjelaskan bahawa caj RM30 tersebut merupakan kadar standard bagi kerja membaiki kerosakan akibat air, bukan sekadar harga bateri. Menurutnya, kadar upah bagi kerja membaiki peranti rosak air seperti telefon biasanya boleh mencecah RM50 hingga RM80, bergantung kepada tahap kerosakan.
“Penjelasan dari video, bateri tu bateri baru. Cuma duduk dalam remote. Bila nak cari yang dalam packaging tak jumpa, jadi nak cepat ambil remote tu,” katanya.
Tambah beliau lagi, caj yang dikenakan adalah berdasarkan harga servis standard dan bukan sekadar komponen.
“Isu RM30 tu standard harga untuk water damage. Untuk handphone pun RM50 atau RM80. Ini pertama kali repair, ikut harga standard ambil upah repair je,” jelasnya.
Dia turut menegaskan bahawa semua harga telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pelanggan sebelum kerja pembaikan dilakukan, dan pelanggan juga telah bersetuju tanpa sebarang masalah.








