Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menggalakkan rakyat negara itu mempelajari Bahasa Melayu dan mendalami budaya Melayu bagi mengukuhkan hubungan dengan negara jiran serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dan perniagaan Singapura.
Berucap pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 di ITE Headquarters, semalam, beliau berkata kedudukan Singapura di rantau ini menjadikan penguasaan Bahasa Melayu sesuatu yang bermanfaat, selain bahasa berkenaan merupakan sebahagian daripada identiti negara.
Menurutnya, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Singapura, bahasa lagu kebangsaan serta bahasa arahan Angkatan Bersenjata Singapura. Beliau turut menyifatkan Kampong Gelam sebagai sebahagian daripada sejarah dan warisan yang dikongsi bersama dengan rantau ini.
Lawrence berkata, memahami bahasa dan budaya Melayu bukan sekadar berkaitan warisan, malah dapat membantu rakyat Singapura mengeratkan hubungan dengan jiran serantau serta memberi lebih banyak ruang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.
Baca juga:
- Pernah gesa Israel musnahkan bangunan di Gaza, pemilik restoran kini rayu bantuan
- Pelajar berhijab dihalang ke sekolah, 37 ditahan susulan bantahan di Azerbaijan
- Lelaki maut dibaham harimau selepas masuk kandang di taman hidupan liar
Dalam ucapannya, beliau turut mengakui masyarakat Melayu/Islam berdepan kebimbangan berkaitan kos sara hidup, pekerjaan dan masa depan anak-anak. Katanya, pemerintah akan terus bekerjasama dengan pemimpin serta badan masyarakat untuk membantu masyarakat menghadapi cabaran yang semakin tidak menentu.
Beliau turut menekankan usaha memperkukuh masyarakat menerusi M3+, termasuk peluasan program Santunan Emas ke Yishun, Sembawang dan Woodlands serta kerjasama PERGAS dengan ASME bagi membantu perusahaan milik golongan asatizah mendapatkan khidmat nasihat, alat digital dan rangkaian perniagaan.
Pada masa sama, Lawrence memperkenalkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, bersama pasukan pemegang jawatan dan Anggota Parlimen Melayu/Islam. Beliau berharap masyarakat terus memberikan sokongan bagi memastikan rakyat Melayu/Islam mencapai potensi masing-masing kerana kejayaan masyarakat itu turut menyumbang kepada kejayaan Singapura.











