‘Bukan kerana taksub’, Muqharabbin jelaskan bida tongkat Abdul Hadi | The Reporter

‘Bukan kerana taksub’, Muqharabbin jelaskan bida tongkat Abdul Hadi

Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin membida tongkat milik Tan Sri Abdul Hadi Awang
Gambar: Facebook Muqharabbin Mokhtarrudin

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menjelaskan keputusan membida tongkat milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 bukan kerana nilai barangan berkenaan atau sikap taksub terhadap manusia.

Sebaliknya, beliau berkata tongkat itu mempunyai nilai sentimental sebagai kenangan serta peringatan buat dirinya sepanjang kehidupan.

Menurut Muqharabbin, malam berkenaan menjadi antara momen terindah buat dirinya kerana berpeluang berada dekat dengan Abdul Hadi, selain dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan PAS Malaysia.

“Namun yang paling penting, tongkat ini menjadi INGATAN KERAS kepada diri saya sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan.

Beliau berkata, ketika masih kuat, seseorang mampu melakukan pelbagai aktiviti termasuk mendaki puncak tertinggi, berlari sejauh 50 kilometer, berbasikal, bekerja dan berjuang.

Bagaimanapun, katanya, kekuatan tersebut tidak akan kekal selamanya kerana manusia akan melalui proses penuaan dan kelemahan sekiranya dipanjangkan usia.

Muqharabbin turut memetik Surah Yasin ayat 68 yang mengingatkan bahawa manusia yang dipanjangkan umur akan dikembalikan kepada keadaan lemah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya selagi diberikan usia dan kudrat, seseorang perlu terus berjuang serta melakukan perkara yang baik tanpa menunggu sehingga sudah tidak lagi berkemampuan.

Baca juga:

Dalam pada itu, Muqharabbin menegaskan pembidaannya tidak mempunyai unsur ketaksuban terhadap manusia.

“Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah ﷺ,” katanya.

Beliau turut menjadikan nilai RM16,500 sebagai simbol peribadi, dengan angka satu merujuk kepada Ihsan, enam kepada Iman, lima kepada Islam dan dua angka sifar sebagai peringatan bahawa dunia akhirnya akan ditinggalkan.

Menurutnya, simbolik berkenaan bukan tafsiran agama terhadap angka tersebut, sebaliknya sekadar peringatan kepada dirinya supaya terus menjaga Islam, Iman dan Ihsan sehingga akhir hayat.

Muqharabbin turut memetik Surah al-Rahman ayat 26 yang bermaksud “Segala yang ada di bumi itu akan binasa” sebagai peringatan bahawa kehidupan dunia bersifat sementara.

Beliau menyifatkan tongkat berkenaan sebagai sebuah kenangan yang membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan dan berharap dapat terus berjuang selagi diberikan usia serta kudrat.

Related Posts