Polis menahan lapan lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian yang tular di media sosial selepas beberapa individu didakwa menutup jalan awam dan dua penunggang motosikal bersaing sesama sendiri di Lebuhraya LINKEDUA, Kulai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33, susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO), Kulai, kira-kira jam 11.54 pagi, 23 Ogos lalu.
Susulan video tular berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan siasatan sebelum menahan lapan lelaki berusia antara 26 hingga 45 tahun.
Kesemua suspek kemudiannya menjalani ujian saringan awal air kencing dan hasilnya mendapati mereka negatif daripada sebarang jenis dadah.
Baca juga:
- Kucing jadi mangsa perbuatan tidak senonoh lelaki berjaya diselamatkan
- JAKIM jalankan siasatan menyeluruh isu penyembelihan ayam tular
- Anwar respons teguran hadir persembahan Siti Nurhaliza
Polis memaklumkan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Polis Kontinjen Johor menegaskan bahawa jalan raya bukan tempat untuk berlumba atau melakukan sebarang aksi berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai menahan pengguna jalan raya bagi membolehkan dua penunggang motosikal melakukan perlumbaan haram di lebuh raya berkenaan.
Susulan kejadian itu, seorang pempengaruh permotoran antara lapan individu yang ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.








