Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan hingga mengorbankan 38 nyawa dipercayai ditembak oleh sistem pertahanan udara Rusia, menurut sumber siasatan awal Azerbaijan, lapor Reuters.
Penerbangan J2-8243 terhempas berhampiran Aktau di Kazakhstan selepas menyimpang dari laluan asal di selatan Rusia, kawasan yang sering menjadi lokasi operasi sistem pertahanan udara Rusia terhadap dron Ukraine.

Sumber siasatan mendakwa pesawat tersebut terkena tembakan sistem Pantsir-S milik Rusia, dengan komunikasi pesawat dilaporkan terganggu oleh sistem peperangan elektronik ketika menghampiri Grozny. Bagaimanapun, tiada dakwaan bahawa insiden ini disengajakan.
Pihak Amerika Syarikat turut menyatakan terdapat tanda awal bahawa sistem anti-pesawat Rusia mungkin terlibat, sementara Kanada menyeru Rusia membenarkan siasatan terbuka mengenai kejadian ini.
Rakaman serpihan pesawat menunjukkan kesan seperti terkena serpihan peluru pada bahagian ekornya. Seramai 29 penumpang terselamat, namun kebanyakan mereka cedera. Siasatan lanjut masih diteruskan untuk menentukan punca sebenar nahas ini. – Agensi








