Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita yang juga seorang pempengaruh TikTok dilaporkan berdepan dengan penceraian selepas dia dirakam mencium penyanyi terkenal, Romeo Santos, semasa satu konsert disiarkan secara langsung di Republik Dominica pada 28 Disember lalu.
Miriam Cruz, yang mempunyai lebih 140,000 pengikut di TikTok, melompat ke atas pentas ketika konsert kumpulan bachata Aventura. Dalam rakaman, dia kelihatan menyapa ahli kumpulan sebelum memeluk dan mencium Santos selepas dijemput untuk menyanyi bersama.

Kumpulan Aventura kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu La Guerra, manakala Cruz duduk di sebelah Santos sambil tangannya berada di atas pangkuan penyanyi itu.
Dalam satu hantaran media sosial yang kini telah dipadamkan, Cruz mengakui bahawa tindakan itu telah membawa kepada keretakan rumah tangganya yang berusia 10 tahun.
“Saya harus akui bahawa pencapaian ini datang dengan kos yang sangat tinggi: perpisahan perkahwinan saya selama 10 tahun,” tulis Cruz.
Menurutnya, dia terpengaruh dengan emosi tanpa memikirkan kesan kepada keluarganya. Walaupun sedih dengan keputusan suaminya untuk bercerai, dia menghormatinya dan berharap hubungan mereka kekal baik demi anak-anak.
Pengikut Cruz di TikTok kebanyakannya menyuarakan simpati terhadap perpisahan tersebut, malah ada yang mengkritik tindakan suaminya. Mereka turut menyatakan mereka juga akan mengambil peluang yang sama jika berada di pentas bersama Aventura.
Kumpulan Aventura, yang berasal dari Bronx, New York, dianggotai Romeo Santos, Henry Santos, Lenny Santos, dan Max Santos. Mereka dikenali sebagai kumpulan bachata pertama yang mendapat kejayaan besar di AS. – Agensi








