'Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini?' - Ustazah Asma' Harun | The Reporter

‘Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini?’ – Ustazah Asma’ Harun

Ustazah Asma' Harun memberi teguran kepada penyanyi kumpulan wanita.
Gambar: Facebook Ustazah Asma’ Harun

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menegur penampilan dan persembahan kumpulan penyanyi wanita yang dianggap semakin melampau, tidak sopan dan mencolok mata. Beliau menyifatkan gaya pakaian ketat, singkat serta gerakan tarian menggoda sebagai sesuatu yang memalukan, tidak bermaruah dan bertentangan dengan nilai kesopanan Malaysia serta ajaran Islam.

Beliau juga menzahirkan rasa kecewa dan sedih apabila salah seorang anngota kumpulan tersebut adalah wanita Islam.

“Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam, dan walau yang bukan islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini? Kemajuan apa yang dibina di atas dosa? Kemodenan apa yang dibina di atas runtuhnya rasa malu?” soalnya.

Normalisasi maksiat

Ustazah Asma’ turut menekankan bahaya normalisasi maksiat, apabila tindakan melanggar batas dianggap “artistic”, dipuji dan dibanggakan sebagai “wajah Malaysia”. Beliau memberi amaran bahawa budaya ini mempengaruhi generasi muda melalui ideologi hidup bebas seperti “you do you” dan “be yourself” tanpa panduan agama yang akhirnya menanam fahaman bertuhankan hawa nafsu.

Menurutnya, memuji dan mempertahankan perbuatan yang salah tetap tidak mengubah hakikat dosa. Beliau mengingatkan bahawa maksiat terbuka bukan lagi “antara seseorang dengan Allah”, sebaliknya wajib ditegur kerana memberi kesan kepada masyarakat.

Baca juga:
Teguran kerana sayang

Ustazah Asma’ menjelaskan bahawa teguran ini bukan kerana benci tetapi kerana kasih sayang dan tanggungjawab. Malaysia, katanya, memerlukan seni dan hiburan yang bermaruah, sopan dan membina, bukan yang meruntuhkan nilai diri dan memalukan wanita.

“Memang ada dosa yang benar-benar antara manusia dengan Allah, seperti seseorang yang tidak solat atau minum arak secara sembunyi. Itu aib peribadi dan kita tidak boleh membongkarnya.

“Tetapi maksiat yang dibuat secara terang-terangan, ditayangkan kepada orang ramai, mengundang syahwat dan mempengaruhi remaja, itu bukan lagi urusan peribadi. Itu sudah menjadi fitnah kepada masyarakat dan membuka pintu kerosakan yang besar.

“Bahaya paling besar apabila normalisasi perbuatan itu menjadi ikutan, sebaran dan budaya yang ditiru. Di sinilah Islam memberi amaran keras terhadap sesiapa yang menjadi punca kepada keburukan yang merebak,” tegasnya.

Beliau juga berpesan agar menampilkan seni yang bermaruah agar kembali kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredai.

Related Posts