Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang selebriti lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas ditemui memiliki dedaun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 3.10 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dedaun kering yang disyaki ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ujian awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), namun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Norhizam turut menegaskan pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.
Sumber: Kosmo, Harian Metro








