'Sejujurnya saya beli ikan siap siang di pasar, tak sangka satu Malaysia 'bergaduh' - Pengacara WHI tak melatah dikecam tak pandai menyiang ikan - The Reporter

‘Sejujurnya saya beli ikan siap siang di pasar, tak sangka satu Malaysia ‘bergaduh’ – Pengacara WHI tak melatah dikecam tak pandai menyiang ikan

Sumber gambar: YouTube

Tular ketika ini satu klip video yang memaparkan dua pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang diberikan tugasan menyiang ikan. Namun, menerusi klip tersebut netizen memperlekehkan tindakan pengacara berkenaan yang dikatakan tidak pandai menyiang ikan.

Tidak melatah dengan kecaman yang diperkatakan, Sugeeta Chandran menjelaskan dia merupakan seorang vegetarian yang tidak makan ikan dan hanya pernah menyiang ikan sekali sahaja.

“Saya vegetarian, tak makan ikan, tak masak ikan dan pernah siang ikan pun sekali saja, itu pun manja-manja,” katanya.

Sugeeta berkata, ketika siaran langsung berkenaan, dia dan rakan pengacara, Syira, dikehendaki melakukan cabaran dalam satu segmen tanpa diberitahu lebih awal oleh penerbit.

Tidak tertekan memikirkan kecaman

Menurut Sugeeta, dia hanya mengetahui mereka dikecam selepas dimaklumkan oleh rakan bahawa video itu tular. Namun tidak tertekan dan terlalu memikirkannya.

“Ada baca beberapa komen, cuma yang kurang menyenangkan apabila ada mengaitkan wanita dengan menyiang ikan. Sedangkan ia bukan penentu wanita itu hebat atau tidak.

“Jadi bagi saya, jangan stereotaip kerana kalau tak tahu, boleh belajar dan jika ada kelemahan jangan burukkan mereka (wanita),” katanya.

Ambil dari sudut positif

Sementara itu rakan pengacara, Syira berkata, apa yang berlaku tempoh hari hanya sebagai warna warni ketika bersiaran secara langsung.

Syira tidak mengambil hati dengan kecaman dilemparkan netizen dan mengambilnya daripada sudut positif.

“Semua orang pun ada pengalaman kali pertama dan secara peribadi, saya ambil nasihat diberi serta tak terguris dengan kata negatif.

“Sejujurnya saya beli ikan siap siang di pasar jadi benda itu biasa dan tak sangka sampai satu Malaysia ‘bergaduh’ disebabkan itu.

“Hanya beberapa komen saja yang saya sempat baca sebenarnya dan ramai juga wanita kongsi kali pertama pertama siang (ikan) dan buat di depan mentua jadi saya ambil positif saja kerana baru setahun mengacarakan WHI,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!