Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan beliau tidak akan berundur daripada perjuangan berkaitan akses pendidikan tinggi untuk golongan B40 dan M40, meskipun berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.
Beliau berkata isu yang dibangkitkan bukan bersifat peribadi, sebaliknya menyentuh soal keadilan dalam akses pendidikan tinggi.
“Apa yang saya bangkitkan bukanlah demi kepentingan peribadi, tetapi demi hak anak-anak Malaysia untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang adil. Saya menegaskan bahawa isu ini mempunyai asas yang kukuh dan wajar dinilai berdasarkan fakta, data serta prinsip keadilan,” jelasnya.
Beliau menambah, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya membuka lebih banyak ruang untuk beliau terus membangkitkan isu berkaitan dasar pendidikan tinggi negara.
“Sukacita ingin saya maklumkan, pertuduhan hari ini sebenarnya telah membuka pintu kepada banyak lagi isu kritikal di belakangnya,” katanya.
Baca juga:
- ‘Saya tidak akan berhenti berjuang’ – Haim Hilman
- ‘Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini’ – ADUN Dusun Tua
- Hampir sebulan bumbung sekolah diterbangkan angin, ibu bapa persoal tindakan
Berpaksikan kepentingan rakyat
Beliau turut mendakwa kajian terhadap laporan tahunan hampir 20 universiti awam dari 2018 hingga kini menunjukkan terdapat pelbagai isu yang perlu diperhalusi dalam sistem pendidikan negara.
“Untuk makluman juga, saya telah meneliti laporan tahunan hampir 20 universiti awam dari tahun 2018 hingga kini. Banyak lagi perkara yang akan saya bangkitkan demi memastikan sistem pendidikan tinggi negara benar-benar berkualiti, adil dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadapnya tidak akan melemahkan perjuangan tersebut.
“Silakan lakukan apa sahaja, termasuk menggari saya, selagi kalian masih berkuasa. Dihadapkan ke mahkamah jauh lebih ringan daripada melihat ribuan anak-anak miskin terus dinafikan peluang ke universiti awam. Saya akan terus bersuara sehingga hak mereka dikembalikan,” katanya.
“Saya mungkin didakwa kerana bersuara, tetapi saya tidak akan berhenti,” tambahnya.
Mengaku tidak bersalah
Terdahulu, Haim Hilam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam berkaitan isu kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Jun 2026 antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas Pas, Seremban.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, Haim Hilman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan terhadap ADUN Jitra, Haim Hilman Abdullah berhubung dakwaan tidak berasas berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam negara ini. KPT menegaskan bahawa dakwaan berulang yang dibuat termasuk isu “menjual tempat” dan kemasukan pelajar melalui “pintu belakang” ke IPTA adalah serius serta boleh menjejaskan reputasi sistem pendidikan tinggi negara.









