Kementerian Pendidikan Tinggi sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berhubung beberapa tuduhan tidak berasas berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam di negara ini.
KPT dalam kenyataan menegaskan bahawa dakwaan berulang yang dibuat oleh beliau, termasuk kononnya wujud amalan “menjual tempat” kepada golongan berkemampuan serta kemasukan pelajar melalui “pintu belakang” ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), adalah serius dan berpotensi menjejaskan reputasi sistem pendidikan tinggi negara.
Kementerian turut memaklumkan bahawa tuduhan tersebut turut tersebar menerusi rakaman video ucapan yang disiarkan di Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun 2026.
Menurut KPT, dakwaan berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej universiti awam, malah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti pengurusan institusi pendidikan tinggi, penjawat awam serta ribuan pelajar yang memasuki IPTA melalui saluran sah.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” menurut kenyataan itu.
Baca juga:
- KPT pertimbang tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman
- Pemilik Opah Strawberries mohon maaf, jelaskan kekeliruan isu tular
- Bilal muda meninggal dunia selepas azan Maghrib, pemergian Ahmad Haziq undang sebak
KPT menegaskan bahawa ini bukan kali pertama isu seumpama itu dibangkitkan oleh individu terbabit, dan kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang berasaskan fakta serta bukti yang kukuh.
“Perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh YB Dr. Haim Hilman terhadap KPT. Kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.
“Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, KPT tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan yang dianggap mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara.









