Dalam sidang media Suria FM hari ini, Pengurus Besar yang juga penyampai radio, DJ Lin tampil meluahkan rasa terkilannya dengan sikap netizen yang mengecamnya di media sosial disebabkan tindakan Tyzo pada Jumaat lalu.
Menurut ibu tunggal berkenaan, apa yang berlaku mungkin ada hikmah daripada Allah dan ujian bagi dirinya yang baru mula berhijrah.
Bina jenama DJ Lin dari kosong, sejak 1999
“25 tahun saya dalam industri radio dengan rekod yang sangat cemerlang, dengan 13 anugerah besar dari pelbagai kategori yang saya telah menangi. Penyampai radio terbaik, penyampai radio popular, penyampai radio paling dipercayai, ikon wanita muda negara dan pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang saya terima.
“Saya bina jenama DJ Lin itu daripada kosong sejak saya menceburi industri radio pada tahun 1999. Saya cintakan dunia radio dan radio ini adalah hidup mati saya. Arwah mak saya pernah pesan, memang radio nombor satu dalam hidup saya dan keluarga jatuh nombor dua.
“Tapi bagi saya, saya melihat Suria FM itu selepas diberi tanggungjawab memimpin Suria FM, sebagai General Manager pada tahun 2021… tanggungjawab saya semakin besar, bukan saja sebagai penyampai radio. Tetapi saya menggalas dua tanggungjawab serentak.
“Dan keutamaan saya adalah jenama Suria FM itu sendiri. Saya memberi usaha yang terbaik untuk memastikan jenama Suria itu terus melakarkan kejayaan dari hari ke hari.
Netizen tak tahu cerita sebenar
“Saya pernah dikecam sebelum ini oleh bekas-bekas penyampai yang tidak disambung kontrak, mungkin di bawah pengurusan saya. Saya sudah lali dengan kecaman, tak semua orang kenal saya. Yang pernah berurusan dengan saya, mereka tahu DJ Lin itu bagaimana orang.
“Betapa sayangnya saya pada industri radio, betapa saya menghargai peminat-peminat yang setia menyokong saya dari 25 tahun yang lalu hinggalah ke sekarang ini.
“Saya bersyukur ke atas anugerah itu, kerana dianugerahkan peminat yang sangat setia. Walaupun dikecam sehingga ke hari ini sejak video itu viral, sampailah sekarang. Kalau kita hitung hampir 9 hari la kot. Saya kira makian, cacian, tohmahan, gelaran, perkataan semuanya itu bagi saya.. saya tidak boleh menyalahkan netizen kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku.
“Mereka hanya melihat satu kisah video yang terpapar sejak Jumaat lalu. Tetapi di sebalik apa yang berlaku itu, tiada siapa yang tahu. Jadi saya tak patut menghukum netizen yang tidak bersalah, yang tidak tahu menahu apa-apa dalam hal ini. Memang saya tak nafikan hentaman, kecaman, cacian, makian berterusan kepada DJ Lin.
Jangan kecam anak-anak yang tak terlibat
“Malahan terhadap anak-anak saya sendiri. Bagi saya sebagai seorang yang ada nilai kemanusiaan, anak saya tak bersalah. Nak kecam ke, tak kisahlah anda tahu ke tak tahu pangkal cerita, nak kecam DJ Lin, kecam DJ Lin sahaja. Saya tak ada masalah. Tapi awak jangan sentuh anak-anak saya yang tidak bersalah sama sekali.
“Anda menghukum mereka tanpa asas yang kukuh, anda menggelar macam-macam pada ibu dia. Mereka juga seorang anak, juga ada perasaan, juga adalah manusia biasa, punya emosi dan juga hati.
“Jadi bagi saya apa yang berlaku ini saya percaya ada hikmah yang Allah jadikan. Saya tak tahu apa hikmah itu untuk Suria atau saya. Tetapi saya sangat percaya, suatu ketika semua netizen yang mengecam saya secukup-cukupnya, menggelar saya dengan pelbagai panggilan, cacian bagai yang sampai tak boleh diterima sebagai seorang manusia.
“Saya percaya suatu ketika mereka akan menyedari kenyataan adalah tetap kenyataan. Itu adalah pasti. Dan memang saya anggap ini sebagai satu proses pembelajaran untuk saya, untuk memantapkan mental fizikal saya dengan kuasa viral, kuasa media sosial yang sangat kuat. Kita tak boleh menafikan, juga tidak boleh menyalahkan netizen yang tidak tahu kisah sebenarnya.
Suria FM bukan milik DJ Lin
“Cuma kalau boleh, menghukum biarlah selepas kita mengetahui fun fact atau kenyataan yang sebenar-benarnya daripada kedua-dua pihak. Itu baru adil sebagai seorang manusia.
“Jadi bagi saya 2024 ini dibuka dengan kontroversi DJ Lin, famous satu Malaysia. Tapi mungkin ada hikmahnya, saya lalui, terima sepanjang sembilan hari ini biarpun sukar. Tiada orang yang faham, ini satu proses yang saya tidak pernah lalui. Ini kecaman terhebat pernah saya dapat, akibat segala impak, tuduhan yang dituduh oleh Tyzo terhadap saya.
“Tapi saya serahkan kepada pihak yang berkenaan yang lebih tahu cerita di sebalik apa yang anda saksikan dalam video itu.
“Saya di sini bertugas sebagai seorang kakitangan. Suria FM itu bukan milik saya, saya hanya bekerja, makan gaji sahaja. Cuma bezanya saya bukan kakitangan kontrak seperti penyampai lain. Saya kakitangan tetap dari tahun 1999.
Ujian untuk mematangkan diri
“Tahap kesihatan mental, tipulah kalau saya katakan saya tak terasa atau saya tak menerima kesan negatif daripada kecaman yang sangat hebat netizen yang tak tahu cerita.
“Cuma saya berdoa pada Allah di setiap solat saya, saya redha atas apa yang jadi, saya terima kalau ini adalah ujian yang Allah bagi saya demi untuk mematangkan, meningkatkan diri saya. Sebab saya pun baru berhijrah, menutup aurat sepenuhnya selepas balik umrah pada Mac 2023. Jadi saya masih lagi belajar untuk menguatkan emosi, hati, untuk lebih redha dan menerima apa yang berlaku.
“Saya doakan agar saya terus kuat, kuat untuk Suria FM dan hampir 50 orang anak-anak buah saya. Saya kena tunjukkan saya kuat, apa jua dugaan mendatang, saya tempuh. Sebab saya tahu kesalahan itu tidak saya laku. Tak ada apa yang saya takutkan.
“Saya bersyukur kepada Allah, saya percaya satu ketika ada kemanisan yang menunggu saya di sebalik kesabaran saya yang sangat-sangat tinggi. Demi anak-anak buah saya di Suria FM, demi anak-anak saya. Saya harus kuat kerana saya seorang ibu tunggal sejak 17 tahun lalu,” katanya.