Inspektor Sheila meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan seorang anggota polis bertugas di Mahkamah Majistret Selayang yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya dengan memasang gari di tangannya.
Dalam klip video yang disiarkan oleh Malaysia Gazette, Sheila menegaskan dia tidak sepatutnya diperlakukan seperti itu kerana dia masih lagi berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Apa tujuan saya ditahan sebenarnya? Di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan? Saya dah tahan ramai orang di bawah Seksyen 186, tidak pernah saya tahan mereka menggunakan gari.
“Mereka pula menahan saya menggunakan gari, melayani saya dengan kasar sehingga meninggalkan kesan di pergelangan tangan.
“Jangan cuba ajar saya tentang prosedur. Saya telah bersama PDRM selama tujuh tahun dan saya juga tahu selok belok prosedur.
“Saya bukan orang awam, saya adalah pegawai polis. Kenapa langsung tak ada budi bicara? Saya pegawai polis, kenapa perlu digari? Adakah anda berniat untuk sabotaj saya? Untuk menjatuhkan maruah saya? Apa tujuannya?
“Saya telah berpakaian smart, saya telah hadir dan memberi kerjasama kepada mahkamah tetapi kamu masih juga nak mengari saya. Apa tujuannya?” katanya.
Difahamkan, Sheila telah berbincang dengan peguamnya, M Manoharan mengenai perkara itu dan akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang.
Terdahulu di Mahkamah Majistret Selayang, Sheila mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengugut dan mengaibkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan dua orang awam.
Majistret membenarkan Sheila diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sumber: Malaysia Gazette








