'Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini' - ADUN Dusun Tua | The Reporter

‘Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini’ – ADUN Dusun Tua

Pekerja menjalankan kerja pembaikan bumbung SK Bukit Raya di Hulu Langat yang rosak akibat ribut menggunakan peruntukan kecemasan RM200,000.
ADUN Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz memaklumkan perkembangan pembaikan di SK Bukit Raya. Gambar kecil: Harian Metro

Kerja pembaikan bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya yang rosak akibat kejadian ribut dijadualkan bermula hujung minggu ini selepas peruntukan kecemasan berjumlah kira-kira RM200,000 diluluskan bagi menangani kerosakan tersebut.

Memetik laporan Media Selangor, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz berkata, tindakan segera itu dapat dilaksanakan selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat memberi kelulusan untuk menggunakan bajet kecemasan demi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah terus terpelihara.

Menurutnya, kerja pembaikan akan dijalankan pada Sabtu dan Ahad bagi mengelakkan sebarang risiko kepada murid sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

“Kerja pembaikan akan bermula pada Sabtu dan Ahad ini. Ia dijalankan pada hujung minggu bagi mengelakkan risiko kepada murid ketika sesi persekolahan berlangsung.

“Langkah ini penting bagi memastikan aspek keselamatan murid terjamin dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Baca juga:
Prosedur pelaksanaan sekolah

Johan menjelaskan kelewatan kerja pembaikan sebelum ini berpunca daripada prosedur pelaksanaan projek di sekolah yang menetapkan hanya satu kontraktor boleh menjalankan kerja pada satu-satu masa.

Katanya, ketika kejadian ribut berlaku, kontraktor sedang melaksanakan kerja pembaikan pintu dan tandas di sekolah berkenaan, menyebabkan kerja membaiki bumbung terpaksa ditangguhkan sehingga projek sedia ada selesai.

“Prosedurnya, jika terdapat kontraktor yang sedang melaksanakan kerja pembaikan di sekolah, kontraktor lain tidak boleh masuk sehingga kerja berkenaan selesai.

“Ketika kejadian berlaku, kontraktor sedang menjalankan kerja membaiki pintu dan tandas, jadi proses pembaikan bumbung terpaksa menunggu sehingga kerja tersebut selesai,” katanya.

Terdahulu, tular gambar kerosakan bumbung SK Bukit Raya akibat diterbangkan angin sejak hampir sebulan lalu. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan orang ramai dan meluahkan rasa simpati terhadap murid dan guru yang terkesan akibat insiden berkenaan.

Related Posts