Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah ugut & aibkan Lans Koperal, 2 orang awam | The Reporter

Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah ugut & aibkan Lans Koperal, 2 orang awam

Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan mengugut dan mengaib tiga individu seperti yang tular dalam video di media sosial
Gambar Buletin TV3

Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengugut dan mengaibkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan dua lagi orang awam.

Tertuduh berusia 35 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Chai Guan Hock di Mahkamah Majistret Selayang, pagi ini.

Mengikut pertuduhan, 15 Jun 2023, Sheila didakwa mengaibkan Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak di sebuah kedai makan di Gombak. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut wanita warga emas berusia 69 tahun dengan niat mendatangkan kegentaran kepada mangsa, dan menghina seorang lelaki berusia 41 tahun dengan kata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu’.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal dan Anis Farhah Ahmad Hilmi, manakala tertuduh pula diwakili oleh peguamnya, M Manoharan.

Manoharan bagaimanapun merayu agar anak guamnya yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam PDRM, dibenarkan diikat jamin yang rendah atau dilepaskan dengan bon tanpa jaminan.

Selain itu, bapa tertuduh sudah 39 tahun berkhidmat dalam PDRM dengan pangkat terakhir sebagai Asisten Superintendan. Malah adik tertuduh juga berkhidmat dalam PDRM.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 atas semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sumber: Harian Metro

Related Posts