'Saya mohon maaf kalau hantaran itu mengguris hati anda' - Azhar Sulaiman mohon maaf kerana pertikai kebijaksanaan Ketua Kumpulan Hamas - The Reporter

‘Saya mohon maaf kalau hantaran itu mengguris hati anda’ – Azhar Sulaiman mohon maaf kerana pertikai kebijaksanaan Ketua Kumpulan Hamas

Selepas dikecam teruk oleh netizen berhubung kenyataan mempertikaikan kebijaksanaan Ketua Kumpulan Hamas dalam melancarkan serangan terhadap Israel, pelakon Azhar Sulaiman tampil memohon maaf melalui akaun Instagramnya semalam.

“Saya di sini hendak memohon maaf kepada semua di atas hantaran itu jika ada mengguris hati anda semua. Tiada niat pun untuk berbuat demikian. Saya sokong Palestin dan solidariti punya movement sejak dari dulu,” katanya.

Menjelas lebih lanjut Azhar berkata dia sebelum ini tidak pernah memberi sebarang komen mengenai Hamas atau Fatah kerana tidak memahami situasi politik di negara berkenaan.

Ada bijak, ada yang tidak

“Di Palestin itu ada dua parti iaitu Hamas dan Fatah. Jadi masyarakat dia tidaklah 100 peratus memihak kepada satu parti. Mereka mempunyai pandangan berbeza.

“Fatah ada cara dia dan Hamas ada cara dia untuk selesaikan konflik. Untuk selesaikan konflik, kedua-duanya perlu mengambil kira akan impak daripada apa yang dilakukan.

“Jadi, ketua datang dan pergi. Ada yang baik, ada yang tak baik. Ada yang bijak, ada yang tidak. Dalam kes di Palestin ini, umur ketuanya tak panjang sebab Israel selalu memantau mereka. Jadi, ketuanya datang dan pergi.

“Yang menjadi persoalan saya selama ini, saya tengok setiap tahun akan ada peperangan berlaku di antara mereka sama ada kecil atau besar. Dan akhirnya yang kali ini dikira sebagai besar.

“Berani kacau Israel, serang dengan 5,000 roket. Saya macam, ‘Yeah! Akhirnya mereka bertindak’. So bila kita mengikuti peperangan itu dua tiga hari, kemudian terlintas di hati saya. Kita dah pergi serang dan tahu apa yang Israel akan lakukan kepada kita.

“Disebabkan ini, Israel dah isytiharkan perang terhadap Palestin, bermaksud dia akan serang secara habis-habisan untuk mencapai objektifnya untuk menghancurkan Gaza. Dah jadi macam Hamas bagi lesen pula kepada Israel untuk buat macam ni.

Betulkah strategi itu?

“Israel selama ini macam takut-takut sebab jawatankuasa dunia sedang memerhati mereka. Sekarang, macam dah bagi mereka lesen pula untuk masuk sebab diserang dengan 5,000 roket dan mereka akan membalasnya.

“Jadi, saya mempersoalkan kepimpinan ketuanya sama ada betul ke strategi ini? Mereka tahu akan kesan daripada tindakan itu,” jelasnya.

Tambah Azhar, keadaan mungkin berbeza jika Hamas melakukan kelainan dengan memindahkan para penduduk Gaza ke tempat selamat. Apabila Israel menyerang Gaza, hanyalah bangunan kosong yang terjejas.

Bagaimanapun, Azhar tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan sekali lagi memohon maaf di atas hantarannya sebelum ini. Azhar berharap isu tersebut tidak lagi diperkatakan.

Sumber: Instagram Azhar Sulaiman

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!