'Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap' - Dr Akmal Saleh | The Reporter

‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh

Pemuda UMNO menolak kerajaan tebuk atap dan menegaskan pemimpin berprinsip diperlukan oleh rakyat
Gambar: Facebook Dr Akmal Saleh.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan pendiriannya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan melalui kaedah ‘tebuk atap’.

Menurut beliau, isu pertukaran Menteri Besar di Perlis sebelum ini menyaksikan tindakan wakil rakyat yang menyokong perubahan tersebut dikecam hebat, malah ada yang dipecat parti. Katanya, terdapat juga desakan supaya pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes terhadap tindakan tersebut.

Namun, beliau mempersoalkan perubahan reaksi apabila krisis politik berlaku di Negeri Sembilan, di mana pandangannya yang menolak kaedah sama turut menerima kecaman.

“Jika sesuatu tindakan itu menguntungkan, dianggap halal, tetapi bila merugikan, dianggap haram. Itu bezanya antara pentaksub dan mereka yang berprinsip,” katanya.

Baca juga:

Akmal menjelaskan, prinsip beliau kekal konsisten sejak dahulu, termasuk sejak krisis Langkah Sheraton, iaitu menentang mana-mana usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi yang sah.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya UMNO menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan, ia bukan bertujuan untuk mendapatkan kuasa melalui jalan pintas, sebaliknya sebagai tanda tidak bersetuju dengan dasar tertentu. Dalam situasi itu, katanya, parti perlu menjadi pembangkang yang bermaruah atau mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.

Dalam masa sama, Akmal melihat perkembangan di Negeri Sembilan, di mana terdapat wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sebagai satu petanda positif ke arah kerjasama parti-parti Melayu.

Namun begitu, beliau menegaskan kerjasama tersebut tidak seharusnya berlaku melalui pembentukan kerajaan secara pintu belakang, sebaliknya melalui proses pilihan raya yang telus.

“Rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip, bukan pentaksub. Prinsip perjuangan UMNO tidak boleh digadai walau dengan siapa kita bekerjasama,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan terdapat dua pilihan bagi UMNO sekiranya berlaku perbezaan prinsip, iaitu menjadi pembangkang yang bermaruah atau membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi ruang kepada rakyat membuat keputusan semula.

Related Posts