Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta | The Reporter

Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta

Mahkamah sahkan kecuaian dalam kes S Thanabalan, keluarga terima pampasan RM1.1 juta
Keluarga S Thanabalan akhirnya raih keadilan selepas mahkamah sahkan kecuaian dan arah pampasan RM1.1 juta dibayar oleh kerajaan serta polis.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Selepas hampir tujuh tahun menuntut keadilan, keluarga mendiang S Thanabalan akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kerajaan dan polis membayar pampasan RM1.1 juta atas kematian beliau ketika dalam tahanan lokap pada 2018.

Hakim Noor Hayati Mat memutuskan bahawa kematian Thanabalan berpunca daripada kecuaian pihak polis yang gagal memberikan rawatan segera selepas beliau pengsan di lokap Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Keluarganya terdiri daripada balu V Shanti dan bapa mentua P Vathian diberikan bayaran pampasan meliputi RM500,000 ganti rugi am, RM200,000 ganti rugi teruk, RM30,000 kehilangan nyawa, RM414,000 tanggungan dan RM10,000 kos pengebumian.

Kerajaan turut diarahkan membayar faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh kematian pada 17 April 2018 hingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

Baca juga:

Tamat perjuangan panjang keluarga

Keluarga Thanabalan sebelum ini berdepan perjalanan undang-undang berliku selepas saman mereka ditolak pada 2022. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan mendapati kerajaan serta polis cuai, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan tersebut pada Mac 2024.

Thanabalan ditahan di bawah Akta SOSMA kerana disyaki terbabit dengan kumpulan jenayah terancang, tetapi meninggal dunia di hospital selepas rebah di lokap.

Peguam keluarga, M Visvanathan, menyifatkan keputusan itu sebagai simbol keadilan buat keluarga yang tidak pernah berhenti menuntut kebenaran sejak tragedi itu berlaku.

Sumber: Bernama

Related Posts