Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa pembekuan akses Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang kepada sistem MyKHAS sejak 29 Julai lalu telah menjejaskan pengurusan peruntukan kawasan, sekali gus memberi kesan kepada pelaksanaan bantuan, program kemasyarakatan dan projek infrastruktur di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).
Menurut beliau, langkah itu bukan memberi kesan kepada dirinya sebagai wakil rakyat semata-mata, sebaliknya menafikan hak penduduk Ampang yang memerlukan bantuan segera, khususnya golongan rentan seperti B60, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pelajar, pesakit kronik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan rumah ibadat.
Rodziah turut menegaskan beliau masih merupakan anggota sah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak pernah keluar parti, menyokong atau menyertai mana-mana parti lain. Beliau berkata, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Ampang, beliau terus melaksanakan tanggungjawab di beberapa jawatankuasa dan kaukus Parlimen dengan penuh komitmen.
Beliau mempersoalkan rasional pembekuan peruntukan kawasan itu yang disifatkan berlaku secara mengejut tanpa sebarang penjelasan. Jika ia berpunca daripada isu teknikal atau pentadbiran, katanya, pihak berkenaan perlu memberikan penjelasan serta menyelesaikan perkara itu dengan segera. Bagaimanapun, jika ia dikaitkan dengan kehadirannya ke satu program pada 17 Mei lalu, beliau memaklumkan penjelasan rasmi telah dikemukakan kepada Lembaga Disiplin PKR pada 23 Jun, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Dalam masa sama, Rodziah mendakwa beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Kerajaan Perpaduan masih menerima peruntukan kawasan, manakala beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang lantang mengkritik kerajaan juga tidak berdepan tindakan sama. Beliau menyifatkan keadaan itu menimbulkan persepsi wujud layanan yang tidak konsisten.
Baca juga:
- Lee Chean Chung pula dakwa akses MyKhas disekat
- ‘Mia dah dapat cermin kereta baru’ – Aktivis Sabah
- ‘Bukan nak menjilat Cina, tapi hargai manfaat diberi’ – Sheikh Omar
Manifesto PH
Beliau turut mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan pada PRU-15 menjanjikan penyaluran Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik melalui institusi Parlimen, dan berharap komitmen itu terus dipertahankan selaras dengan agenda reformasi institusi.
Walaupun berdepan kekangan, Rodziah memberi jaminan khidmat kepada rakyat Ampang akan diteruskan menerusi pelancaran Projek Amal Rakyat, sebuah inisiatif yang menggalakkan sumbangan daripada individu, syarikat, NGO, agensi kerajaan dan pelbagai pihak bagi memastikan bantuan kepada penduduk tidak terhenti. Beliau berkata, semua sumbangan akan diurus secara telus dan berintegriti, manakala Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang akan terus beroperasi demi memastikan kebajikan penduduk terus terbela.
Setiausaha Politik PM respon isu
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin memaklumkan beliau telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri untuk berkhidmat sebagai Penyelaras Parlimen Ampang bagi memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada penduduk di kawasan itu dapat diteruskan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Menurutnya, usaha itu akan diselaraskan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, agensi kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pemimpin masyarakat serta pihak berkaitan. Beliau turut memaklumkan sebarang permohonan bantuan kebajikan bagi penduduk Parlimen Ampang boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tujuan penyelarasan.








