Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja perempuan mengalami kecederaan parah apabila kulit kepalanya terkoyak selepas rambutnya tersangkut pada roda Ferris dalam satu kejadian di pesta di Kannauj, Uttar Pradesh, India.
Kejadian itu berlaku ketika remaja tersebut sedang menaiki permainan itu apabila rambutnya terbelit pada roller, mengakibatkan kulit kepalanya terkoyak.
Orang ramai yang berada di lokasi cuba menghentikan permainan tersebut, tetapi gagal menghentikan roda Ferris itu. Mangsa yang mengalami kecederaan parah pengsan sejurus selepas kejadian yang berlaku di kampung Madhonagar itu.
Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dikejarkan ke hospital swasta di Gursahaiganj sebelum dipindahkan ke pusat perubatan di Lucknow untuk rawatan lanjut.
Setiap tahun, pesta selama dua hari yang merangkumi upacara puja, perarakan, dan pelbagai permainan seperti roda Ferris dianjurkan di Madhonagar oleh Shri Shri 1008 Swami Nityananda Seva Samiti.
Walaupun permainan di pesta menyeronokkan, pakar keselamatan mengingatkan pengunjung agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi langkah keselamatan. Pengunjung disarankan memakai tali pinggang keselamatan atau peralatan keselamatan lain untuk mengelakkan kemalangan semasa permainan bergerak laju atau membuat pusingan.
Pakar turut menekankan agar pengunjung tidak berdiri, bersandar ke luar, atau melonggarkan peralatan keselamatan semasa permainan sedang bergerak. Pesta permainan boleh mendatangkan bahaya jika tidak dikendalikan dengan baik. – Agensi








