Dua remaja lelaki ditahan selepas seorang daripada mereka bertindak menceroboh landasan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Muhibbah, Bukit OUG, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian kira-kira jam 11.52 malam itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), apabila suspek turun ke trek di platform 1 semata-mata untuk berjoget bagi tujuan berseronok.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 16 dan 17 tahun ditahan oleh anggota polis bantuan sebelum diserahkan kepada polis dari Balai Polis Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
“Mereka direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Baca juga:
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 kerana menceroboh landasan. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, yang mengarahkan kedua-dua remaja itu dibebaskan memandangkan mereka pesalah muda, selain mengambil kira kesan terhadap masa depan mereka.
Bagaimanapun, polis memaklumkan masih menunggu arahan lanjut.
Sumber: Harian Metro








