Remaja berusia 15 tahun cipta sabun yang berpotensi merawat & mencegah kanser kulit | The Reporter

Remaja berusia 15 tahun cipta sabun yang berpotensi merawat & mencegah kanser kulit

Di kala remaja berusia 15 tahun sedang menikmati masa remaja mereka dengan aktiviti biasa, berlainan pula bagi seorang remaja lelaki ini yang telah mencapai sesuatu yang luar biasa.

Heman Bekele, seorang pelajar dari Fairfax County, Virginia, telah dinobatkan sebagai “Kid of the Year” oleh majalah TIME pada tahun 2024. Heman yang berasal dari Addis Ababa, Ethiopia, telah mencipta sabun yang berpotensi merawat dan mencegah pelbagai jenis kanser kulit.

Minat Heman dalam sains bermula sejak kecil, di mana dia sering melakukan eksperimen kimia di rumah. Pada usia 7 tahun, dia mula menggunakan set kimia yang diberikan sebagai hadiah Krismas untuk mencipta pelbagai campuran kimia. Inspirasi untuk mencipta sabun anti-kanser datang daripada pengalamannya melihat pekerja di Ethiopia yang terdedah kepada sinaran matahari tanpa perlindungan.

Pada tahun 2023, Heman memenangi cabaran Young Scientist Challenge yang dianjurkan oleh syarikat 3M dan Discovery Education, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $25,000. Sabun ciptaannya mengandungi bahan aktif yang boleh meresap ke dalam kulit dan berfungsi sebagai rawatan untuk kanser kulit.

Kini, Heman bekerja di makmal di Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health di Baltimore untuk mengembangkan ciptaannya. Dia berharap sabun ini akan dapat memberi impak besar dalam bidang perubatan dan membantu ramai orang di seluruh dunia.

“Jangan takut untuk bermimpi besar dan bekerja keras untuk mencapai impian anda. Walaupun anda menghadapi banyak cabaran, teruskan berusaha dan jangan berputus asa. Anda tidak tahu sejauh mana anda boleh pergi sehingga anda mencuba.

“Ketekunan adalah bahagian yang sangat penting dalam proses saintifik. Saya terpaksa mencuba berpuluh-puluh kombinasi yang berbeza untuk mendapatkan sabun yang tidak hanya cair dengan segera.

Related Posts