Beberapa anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) menggesa Jabatan Negara AS mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan mengesan serta menghantar pulang warga Israel yang berada di negara ini.
Dalam surat bertarikh 21 Julai 2026 kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, sekumpulan anggota Kongres menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan Anwar yang menurut mereka menyasarkan warga Israel berdasarkan kewarganegaraan mereka.
Surat yang ditandatangani lapan anggota Kongres itu mendakwa tindakan berkenaan bersifat diskriminasi dan menyifatkannya sebagai kebimbangan terhadap apa yang mereka labelkan sebagai ‘antisemitisme’.
“Kami percaya Amerika Syarikat perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri Ibrahim dan kerajaan Malaysia bahawa dengan bantuan serta sokongan kami, terdapat jangkaan supaya mereka tidak menyasarkan warga negara salah satu sekutu terdekat kami,” menurut surat itu.
Dalam surat berkenaan, anggota Kongres turut meminta supaya bantuan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) kepada Malaysia digantung sekiranya kerajaan Malaysia tidak mengubah pendirian dalam tempoh 15 hari.
Baca juga:
- Isu warga Israel: Kongres AS tekan Washington kaji semula hubungan dengan Malaysia
- Zohran Mamdani sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu
- Insiden tegang selepas wisel penamat, pemain Argentina dan Sepanyol bertelagah
Mereka mendakwa Malaysia menerima bantuan keselamatan AS termasuk program IMET yang membolehkan anggota tentera Malaysia menerima latihan profesional daripada AS, selain mendapat manfaat daripada akses kepada teknologi serta pasaran Amerika.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil tindakan mengesan dan menghantar pulang warga Israel yang berada di Malaysia selepas isu kehadiran individu dari negara itu dibangkitkan.
KDN sebelum ini memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung operasi Network School di Forest City, Johor termasuk meneliti identiti serta status kewarganegaraan individu yang didakwa terlibat.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan Network School di Forest City dan mengarahkan semua aktivitinya dihentikan berkuat kuasa hari ini.










