Pulau Pinang iktiraf Perayaan Hantu Lapar sebagai warisan negeri | The Reporter

Pulau Pinang iktiraf Perayaan Hantu Lapar sebagai warisan negeri

Suasana sambutan Perayaan Hantu Lapar atau Teong Guan Phor Thor di Pulau Pinang.
Gambar: Orientaldaily

Pulau Pinang mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengiktiraf Teong Guan Phor Thor atau Perayaan Hantu Lapar sebagai warisan negeri.

Pengiktirafan itu berkuat kuasa pada 25 Jun lalu, sekali gus menjadi langkah kerajaan negeri dalam memelihara tradisi serta kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Pulau Pinang.

Memetik Utusan Malaysia, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pencalonan perayaan berkenaan diluluskan kerajaan negeri pada 8 April lalu, sebelum melalui proses saringan serta penelitian oleh pihak pakar.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sekadar bertujuan mempertahankan amalan tradisi, malah mengangkat kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai warisan penting negeri itu.

“Di Pulau Pinang, sekurang-kurangnya ada lebih 200 kumpulan di merata tempat yang menganjurkan sambutan ini pada bulan ketujuh,” katanya selepas pewartaan warisan negeri, hari ini.

Digerakkan komuniti setempat

Penganjuran Perayaan Hantu Lapar pula digerakkan bersama komuniti setempat dan golongan peniaga, dengan penyelarasan dilakukan oleh ketua kawasan atau jawatankuasa berkaitan.

Sebelum ini, Pulau Pinang turut mengangkat beberapa elemen budaya dan tradisi lain sebagai warisan kebudayaan tidak ketara, antaranya budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, Perayaan St. Anne Bukit Mertajam serta Loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang.

Elemen berkenaan diwartakan pada 22 Januari lalu, manakala seni mempertahankan diri Nillaikalakki Silambam pula diwartakan pada 7 Mei.

Baca juga:

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut meluluskan penetapan enam tapak sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 pada 8 April lalu.

Enam tapak berkenaan ialah Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Landasan Funicular Bukit Bendera, Makam Dato’ Koyah, Tokong Thai Pak Koong, Bangunan Persatuan Fooi Chew, Tokong Loo Pun Hong serta Tanah Perkuburan Kwangtung dan Tengchow No. 1.

Kon Yeow berkata, proses pewartaan rasmi bagi kesemua tapak tersebut kini sedang diuruskan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

Satu perayaan enam tapak warisan

Kesemua tujuh pengiktirafan baharu itu, merangkumi satu perayaan dan enam tapak warisan, akan diumumkan secara rasmi dalam Majlis Perisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pengiktirafan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan perkara yang diangkat sebagai warisan negeri pada tahun ini kepada 57.

Jumlah tersebut merangkumi 15 tapak warisan, 28 warisan makanan dan tujuh warisan kebudayaan tidak ketara, termasuk enam tapak serta satu perayaan yang menerima pengiktirafan terbaharu.

Related Posts