Satu rakaman live TikTok tular di media sosial merakamkan pergaduhan antara tiga remaja perempuan di Dataran Melang, Kuala Pilah, yang dipercayai berpunca daripada salah faham susulan penyebaran gambar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu.
Menurutnya, kejadian membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang hadir ke Dataran Melang bersama abangnya bagi bertemu dua kenalan.
Pertemuan itu dipercayai bertujuan membincangkan isu salah faham yang timbul selepas gambar remaja terbabit tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, pertemuan berkenaan bertukar menjadi pergaduhan apabila berlaku pergelutan antara pelajar terbabit dengan dua individu berkenaan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Pada Khamis lalu, remaja terbabit kemudian pergi bersama bapanya ke kediaman salah seorang individu berkenaan untuk berbincang sebelum laporan polis dibuat.
Muhamad Mustafah berkata, polis memandang serius kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta pihak yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-48429999 atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Sarjan Shamsuldalila Mohamad di talian 011-10129038.
Sumber: Berita Harian, Thread kepochi.com








