Seekor orang utan jantan dewasa yang ditemui dalam keadaan lemah sebelum tidak sedarkan diri di sebuah ladang kelapa sawit di Kalimantan Barat berjaya diselamatkan selepas dipercayai terjejas akibat asap tebal daripada kebakaran hutan dan tanah.
Orang utan berkenaan dinamakan Sampurna selepas ditemui seorang petani dikenali sebagai Jais ketika dalam perjalanan ke ladangnya di kawasan Ketapang pada pagi Ahad, 30 Ogos lalu.
Jais berkata, ketika ditemukan, haiwan itu berada dalam keadaan sangat lemah sebelum dia memberikan air dan bersama penduduk lain segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Kira-kira dua jam kemudian, pasukan daripada Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat bersama Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) tiba di lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Menurut BKSDA, Sampurna dipercayai keluar dari habitat asalnya selepas kebakaran hutan dan tanah berlaku di kawasan sekitar, menyebabkan asap tebal menyelubungi persekitaran selama beberapa hari.
Doktor haiwan YIARI kemudian memberikan rawatan kecemasan selepas mendapati Sampurna mengalami masalah pernafasan. Haiwan itu diberikan oksigen melalui tiub kecil yang diletakkan pada hidung selain menerima cecair secara intravena.
Ketua Pegawai Eksekutif YIARI, Karmele Llano Sanchez, berkata Sampurna dipercayai mengalami hipoksia, iaitu keadaan kekurangan oksigen, akibat terdedah kepada asap yang sangat tebal di kawasan berkenaan.
Doktor haiwan YIARI, Dr Komara, berkata pemeriksaan awal tidak menunjukkan kecederaan serius akibat kebakaran atau kesan terbakar pada tubuh Sampurna.
Bagaimanapun, orang utan berusia kira-kira 20 tahun itu mengalami masalah pernafasan dan muntah, dengan pasukan perubatan mengesyaki ia mungkin mengalami jangkitan pernafasan akut akibat pendedahan kepada asap.
Baca juga:
- Orang utan pengsan akibat asap kebakaran hutan diselamatkan di Kalimantan Barat
- Polis Jeju didakwa palsukan penutupan kes orang hilang
- Thailand batal visa warga Israel susulan pertikaian di zoo Koh Samui
Sampurna kemudiannya dipindahkan ke Pusat Penyelamatan dan Rehabilitasi Orangutan YIARI di Sungai Awan Kiri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh dan rawatan lanjut.
Pasukan perubatan turut akan menilai kemungkinan kesan pendedahan asap terhadap paru-paru serta organ dalamannya sebelum menentukan rawatan seterusnya.
Menurut YIARI, Sampurna merupakan orang utan ketujuh yang diselamatkan di Ketapang sepanjang Ogos susulan ancaman kebakaran hutan dan tanah. Haiwan itu dijangka dilepaskan semula ke habitat liar selepas pulih sepenuhnya.
ANTARA melaporkan kebakaran hutan dan tanah di Ketapang sepanjang Ogos turut menyebabkan hidupan liar keluar dari habitat masing-masing. Sebelum Sampurna ditemukan, seekor orang utan betina dikenali sebagai Mama Yuni bersama dua anaknya, Yuni dan Pura, turut dipindahkan pada 21 Ogos selepas habitat mereka terancam kebakaran.
Sumber: Reuters, ANTARA









