Hannah Yeoh ibaratkan kerjasama BN-PN seperti Titanic yang menunggu masa karam | The Reporter

Hannah Yeoh ibaratkan kerjasama BN-PN seperti Titanic yang menunggu masa karam

Hannah Yeoh mengetengahkan analogi kapal Titanic kerjasama antara PN dan BN
Gambar: Facebook Hannah Yeoh

Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam, kata Timbalan Setiausaha DAP, Hannah Yeoh.

Dalam hantaran di Facebook, Hannah berkata kerjasama politik yang dibayangi unsur pengkhianatan dan ketidaksetiaan sukar untuk bertahan lama.

Beliau menggunakan analogi filem Titanic bagi menggambarkan hubungan antara BN dan PN yang menurutnya kelihatan kukuh pada awalnya, namun berdepan risiko keruntuhan apabila berhadapan cabaran besar.

“Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya.

Menurut Hannah, kerjasama antara dua gabungan itu tidak mempunyai asas politik persahabatan kerana setiap pihak didakwa mempunyai cita-cita tersendiri, termasuk keinginan untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa pemimpin dalam kerjasama BN-PN tidak benar-benar mahu rakan gabungan mereka berjaya kerana masing-masing hanya mahu mengangkat kepentingan sendiri.

Baca juga:

Sebaliknya, Hannah berkata Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, AMANAH dan DAP telah membuktikan kesetiaan dalam mempertahankan kerjasama politik sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda,” katanya.

Hannah turut menyeru pengundi supaya mempertahankan calon-calon PH sebagai simbol kepada nilai politik persahabatan yang menurutnya menjadi kekuatan gabungan berkenaan.

“Kekalkan Harapan, maka kekal lah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini,” katanya.

Related Posts