Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji disifatkan sebagai detik penting bagi negara dalam usaha mendedahkan kebenaran serta memastikan amanah rakyat dipelihara.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menerusi hantaran di Facebook berkata, rakyat berhak mengetahui bagaimana sebuah institusi yang diamanahkan umat Islam itu berdepan pelbagai persoalan sehingga memerlukan siasatan di peringkat tertinggi.
Menurut beliau, setiap simpanan dalam Tabung Haji bukan sekadar wang lebihan, sebaliknya hasil titik peluh rakyat biasa yang menyimpan dengan harapan untuk menunaikan ibadah haji.
“Setiap ringgit yang disimpan di institusi tersebut bukan wang lebihan. Ia hasil daripada menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi dari pagi hingga malam, berniaga kecil-kecilan di kampung serta wilayah FELDA,” katanya.
Kamil berkata, impian utama para pendeposit adalah untuk menjadi tetamu Allah, justeru sebarang kecuaian terhadap amanah berkenaan bukan sahaja menjejaskan imej institusi, malah menyentuh harapan dan doa jutaan umat Islam.
Baca juga:
- ‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu’ – Sanusi
- ‘Laporan RCI Tabung Haji ditangguh demi elak rakyat hilang keyakinan’ – Anwar
- Hannah Yeoh ibaratkan kerjasama BN-PN seperti Titanic yang menunggu masa karam
Beliau mendakwa amanah tersebut telah dicemari oleh tindakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya ditutup demi mempertahankan mana-mana pentadbiran atau individu.
“Ini bukan masanya untuk menutup kelemahan atau mempertahankan imej mana-mana pentadbiran sebelum ini, jauh sekali melindungi mana-mana individu atau kelompok tertentu,” katanya.
Menurut Kamil, keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka ruang kepada siasatan RCI menunjukkan keberanian dalam usaha mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat.
Katanya, terdapat pihak yang mungkin mahu isu itu dilupakan, namun kebenaran perlu diketengahkan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
Beliau berharap laporan RCI tersebut menjadi penutup kepada episod hitam berkaitan Tabung Haji dan membuka lembaran baharu ke arah sebuah institusi yang lebih telus, berintegriti serta berpaksikan kepentingan umat Islam.
“Tabung Haji mesti dipulihkan dan dipelihara kerana amanah itu adalah tanggungjawab kita kepada generasi hari ini dan akan datang,” katanya.








